Halaman

Sabtu, 5 Februari 2011

TPM: Jangan politikkan misi bantu rakyat Malaysia di Mesir

BERNAMA

MUAR — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan pelan tindakan menyelamat dan membawa pulang 11,000 rakyat Malaysia yang terperangkap di Mesir.

Beliau menegaskan usaha menyelamat itu bukan perkara yang mudah, sebaliknya memerlukan perancangan rapi.

“Kita mahu mengambil langkah secepat seperti yang kita mahu, tetapi kerana ada peraturan-peraturan tertentu bukan sahaja di Mesir bahkan kita perlu mendapatkan kebenaran kerajaan Arab Saudi untuk menempatkan anak-anak kita di Jeddah.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah mendapat kebenaran Arab Saudi, tetapi bukan mudah untuk melaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan kawasan Dewan Undangan Negeri Jorak di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya, Bukit Pasir di sini hari ini.

Muhyiddin berkata usaha itu memerlukan kemudahan logistik yang cukup.

“Setakat hari ini, semua rakyat Malaysia selamat. Bekalan makanan pun ada, cuma proses pemindahan memang memerlukan tempoh masa sedikit,” katanya.

Beliau berkata arahan perintah berkurung di Kaherah merumitkan usaha untuk membawa rakyat Malaysia keluar dari Mesir.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak menghargai usaha kerajaan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia dan tidak mempolitikkannya.

“Saya tahu, ada pemimpin-pemimpin pembangkang mempolitikkan langkah kerajaan dengan mendakwa kita lambat dan sebagainya.

“Kerajaan Mesir yang dalam keadaan kucar kacir tidak mudah untuk respons kepada permintaan Malaysia sahaja kerana terdapat rakyat dari lebih 40 buah negara yang berusaha menyelamatkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, proses pemindahan para pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah berjalan lancar, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail.

Beliau berkata kesemua pelajar dipindahkan dengan menaiki bas dari asrama masing-masing menuju ke Asrama Malaysia di Kaherah dan Asrama Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Iskandariah sebelum bertolak ke lapangan terbang.

“Dari situ, semua pelajar akan dibawa ke lapangan terbang juga menaiki bas. Kita akan bergerak secara konvoi bagi memastikan keselamatan lebih terjamin.

“Setakat ini semua pelajar berada dalam keadaan yang baik sama ada di asrama mahupun di lapangan terbang,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 12 penerbangan ke Jeddah akan dilakukan hari ini melibatkan tiga pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), serta masing-masing dua pesawat Penerbangan Malaysiaa (MAS) dan AirAsia.

“Semua pesawat akan melakukan penerbangan ulang-alik tapi semuanya bergantung kepada landing rights (kebenaran mendarat) dari Jeddah. Kalau mereka (pihak berkuasa Jeddah) beri lebih, kita harap boleh push (minta) untuk lebih banyak penerbangan,” katanya.

Beliau berkata dua pesawat TUDM serta sebuah pesawat MAS dan AirAsia akan melakukan penerbangan dari Lapangan Terbang Kaherah, manakala selebihnya dari Lapangan Terbang Iskandariah.

Shahlan berkata pada masa ini sebahagian besar pelajar telah pun berkumpul di lapangan terbang dan penerbangan pertama dijangka pada pukul 9 pagi ini (waktu tempatan).

Katanya pihak kedutaan telah mengarahkan proses pemindahan pelajar dilakukan sebaik sahaja tamat perintah berkurung sementara keadaan masih lagi tenang.

“Keadaan di sini sangat tenang, tapi kita tak boleh jangka sebab hari ini Jumaat . . . biasanya apa-apa perhimpunan besar akan dibuat pada hari Jumaat. Apa yang kita harapkan adalah untuk cuba pindahkan anak-anak kita ke Jeddah secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pengajian Islam, Persatuan Melayu Republik Arab Mesir Mohd Sulaiman Ismail berkata Kedutaan Besar Malaysia telah menyediakan 13 buah bas bagi memindahkan para pelajar dari Tanta ke Kaherah.

“Baru sebentar tadi sebanyak lima buah bas telah bertolak ke sana dan kita sedang menantikan ketibaan lapan buah bas lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.