Halaman

Sabtu, 21 Mei 2011

Akta majukan Kg Baru tidak lagi kebal, kata SU Agung MAS

KUALA LUMPUR — Tiga badan utama Kampung Baru, penempatan eksklusif orang Melayu di ibu negara, kini lega dengan pindaan terhadap Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 kerana Putrajaya akhirnya menerima aspek-aspek dibantah pemilik dan pewaris tanah kawasan itu.

Tiga badan utama itu iaitu Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Anak-anak Kampung Baru (Pakam) bersetuju dengan pindaan itu yang dimaklumkan pada satu pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Putrajaya lewat petang semalam.

Setiausaha Agung MAS Shamsuri Suradi mengesahkan pertemuan itu dan mengatakan Putrajaya bersetuju memansuhkan pindaan yang mendapat tentangan pemilk dan pewaris tanah.

Antara undang-undang yang ditentang pemilik dan pewaris tanah adalah kekebalan perbadanan, pembubaran MAS dan jumlah keanggotaan dalam perbadanan itu.

“Ya, kerajaan bersetuju membubarkan tiga pindaan yang ditentang selama itu iaitu kekebalan perbadanan yang tidak boleh dicabar itu dibuang, MAS tetap dikekalkan walaupun perbadanan sudah dibentuk dan jumlah keanggotaan bagi anak-anak Kampung Baru ditambah bilangannya.

“Kami MAS, PPKB dan Pakam telah bersetuju dengan pindaan baru yang dibentangkan menteri semalam,” kata Shamsuri kepada The Malaysian Insider.

Justeru kata beliau, perbadanan itu tidak lagi kebal seperti mana rang undang-undang yang dibentangkan buat kali pertama oleh Raja Nong Chik di Dewan Rakyat, 14 Disember lalu.

Malah, ketika itu Raja Nong Chik didakwa membentangkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 tanpa persetujuan pemilik dan pewaris tanah.

“Perbadanan ini sudah tidak kebal lagi, imuniti yang berada dalam rang undang-undang sebelum ini telah dipinda.

“Jadi sesiapa yang nak duduk dalam perbadanan kena fikir baik-baik, kalau ada yang nak berada dalam perbadanan sebab nak songlap duit lupakan sahaja, sebab anda akan didakwa,” kata Shamsuri.

Jelas beliau, pindaan rang undang-undang baru itu akan dibentang kepada pemilik dan pewaris tanah bermula hujung minggu depan.

“Kami akan adakan pertemuan dengan pemilik dan pewaris tanah untuk bentangkan rang undang-undang yang sudah dipinda ini, yang mana ia telah menyebabkan mereka marah sebelum ini.

“Ini yang kami termasuk wakil kementerian akan jelaskan mengikut kampung, kami hanya akan panggil pemilik dan pewaris tanah, sebagai contoh kalau di Kampung Periuk ada 80 lot tanah, jadi hanya 80 orang yang akan hadir.

“Kami tidak mahu ada orang luar yang campur tangan dalam perkara ini, biar kami jalankan tugas dan terangkan kepada pemilik dan pewaris tanah dulu,” katanya.

Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu bagi membolehkan penubuhan sebuah perbadanan yang bertanggungjawab merancang dan mengawal selia pembangunan Kampung Baru.

Bagaimanapun rang undang-undang itu yang dijadual dikemukakan untuk bacaan kali kedua ditangguh sehingga Jun bagi membolehkan beberapa klausa dalam rang undang-undang itu diperhalusi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.