Halaman

Sabtu, 21 Mei 2011

Bomba pertahan rambut pelatih wanita dipotong

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Tindakan memotong rambut pelatih bomba wanita sehingga pendek bagi menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Terengganu baru-baru ini bertujuan memberi keselesaan dan keselamatan ketika mengikuti latihan, termasuk melibatkan api dan air.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menegaskan “pemotongan rambut pendek ini hanya dilakukan sekali sahaja di permulaan kursus dan akan ditrim kemas selepas itu.”

“Pemotongan rambut itu juga dilakukan oleh pegawai wanita di dalam bilik tertutup dan sepanjang latihan, pelatih wanita yang beragama Islam akan memakai tudung manakala yang bukan beragama Islam digalakkan memakai skaf,” menurut kenyataan itu dipetik Bernama Online hari ini.

Kenyataan itu mengulas laporan sebuah akhbar Isnin lalu, yang mendakwa seorang bapa kecewa dengan tindakan jabatan itu memotong pendek rambut anak perempuannya yang sedang mengikuti latihan sebagai pelatih Penolong Penguasa Bomba di akademi itu.

Menurut jabatan itu, tindakan itu adalah selaras dengan falsafah latihan yang diamalkan bagi mempersiapkan para tenaga kerjanya menghadapi tugas yang mencabar, berat, lasak dan berisiko supaya kelak mereka lebih bersedia melaksanakan tugasan sebagai seorang penyelamat.

“Jika mereka tidak biasa dengan kesukaran, mereka akan mudah tewas dan ini akan membahayakan dirinya dan juga mangsa yang bakal diselamatkan,” kata laporan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.