HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Mei 2011

Ibrahim Ali: Saya pun bantu Cina, saya bukan rasis

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mempertahankan beliau bukan seorang yang rasis sebagaimana didakwa sesetengah pihak, sebaliknya berkata turut menghulurkan sumbangan dan bantuan tanpa mengira kaum.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata beliau turut membantu masyarakat Cina dan yang terbaru memberi sumbangan kepada petani-petani kaum itu di Kampung Chetok, Pasir Mas.

Selain itu, jelas pemimpin bersuara lantang ini beliau turut memberikan sumbangan RM5,000 kepada tokong Cina dan pelajar-pelajar kaum itu.

“Ini bukti Datuk Ibrahim Ali, Presiden Perkasa tidak rasis, prihatin kepada semua kaum demi 1 Malaysia.

“Yang bezanya, apa yang dipertahankan ialah asas Perlembagaan Persekutuan dan titah dan ingatan dari Majlis Raja-raja,” katanya dalam kenyatan SMS hari ini.

Dalam kenyataan itu, Ibrahim meminta beberapa portal berita termasuk The Malaysian Insider, Malaysiakini, Free Malaysia Today, akhbar berbahasa Inggeris, The Star dan akhbar Cina agar melihat gambar beliau bersama petani-petani Cina, yang disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini untuk membuktikan beliau seorang bukan rasis.

Ibrahim juga berkata, beliau telah memberi sumbangan mencecah ratusan ribu untuk membantu tiga tokong Cina di kawasan Parlimen itu.

Perkasa dilabelkan sebagai rasis kerana sentiasa menyerang kaum-kaum lain dan hanya mempertahankan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

Malah Perkasa juga dihentam hebat apabila menyokong gelombang “1Melayu, 1Bumi” yang dicadangkan Utusan Malaysia.

Semalam, Perkasa bersama Pemuda Umno dan Kimma mengadakan perhimpunan menyokong Utusan Malaysia.

Tiada ulasan: