Halaman

Sabtu, 21 Mei 2011

Kolam udang campur najis babi

SINAR HARIAN ONLINE



PANTAI REMIS - Penduduk di sini mendakwa sebuah kolam udang di Kampung Tengah dicampurkan dengan najis babi.

Pengadu, Norizuddin Ahmad, 32, berkata, masalah itu menyebabkan timbul bau busuk dari kolam udang berkenaan sehingga mengganggu penduduk di sini.

Menurutnya, perusahaan kolam udang itu dibuka sejak tahun 1995, oleh seorang pemilik persendirian.

“Pemilik berkenaan mengusahakan lebih 10 kolam udang atas tanah miliknya.

“Selain masalah bau busuk, ia juga turut mengganggu sistem perparitan sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Norizuddin berkata, perusahaan itu juga didakwa menjejaskan pendapatan nelayan, terutama mereka yang menjalankan aktiviti menangkap ketam.

Menurutnya, perkara tersebut telah lama dimaklumkan kepada pihak berkenaan, namun tidak ada sebarang tindakan hingga kini.

“Kerana itu, saya sekali lagi merayu kepada agensi yang terlibat untuk turun padang membuat siasatan, terutama dakwaan terdapat campuran najis babi ke dalam kolam udang,” katanya.

Seorang lagi pengadu, Abdul Halim Mat, 38 berkata, bau busuk kadangkala mengganggu keselesaan jemaah yang bersolat di surau berhampiran kolam udang itu.

Katanya, perkara itu memerlukan perhatian daripada Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, serta Pejabat Agama.

“Selain masalah berkenaan, kehadiran ramai pekerja yang disyaki pekerja asing turut menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk.

“Saya harap polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta Jabatan Imigresen dapat membuat pemantauan ke atas pekerja di kolam udang itu demi keselamatan penduduk,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.