KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor sedang menguruskan penempatan baru penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini yang selamat dalam tragedi itu kelmarin.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata beliau telah berbincang dengan Majlis Perbandaran Kajang supaya rumah anak yatim di lokasi kejadian tidak digunakan sehingga satu keputusan dibuat.
Laporan Bernama memetik beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengenakan kadar premium serendah RM1 kepada mana-mana pihak yang ingin menubuhkan pusat kebajikan di tanah milik kerajaan negeri.
“Ia bagi menggalakkan usaha murni itu selain memastikan mereka dapat beroperasi dalam keadaan yang lebih selamat.
“Kerajaan negeri boleh tolong, kalau ada tanah-tanah yang sesuai untuk pemohon baru, kerajaan sedia memberi kadar premium yang rendah,” katanya hari ini.
Lembah Azwen Resort menjadi tempat perlindungan sementara bagi 24 kanak-kanak yang terselamat dalam tragedi itu.
Wakil resort itu, yang enggan namanya disiarkan berkata, pihak resort terbabit menyediakan sebuah bilik penginapan bagi menempatkan kesemua kanak-kanak tersebut.
“Selain itu, pihak kami turut menyediakan chalet kepada guru-guru dan petugas rumah anak-anak yatim berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Resort itu, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian akan menjadi tempat perlindungan sementara bagi kanak-kanak itu sehingga mereka mendapat tempat baru disediakan oleh pihak berkaitan.
Terdahulu, kerajaan negeri Pulau Pinang turut menghulurkan bantuan berjumlah RM25,000 kepada mangsa dan waris tanah runtuh itu di mana setiap waris mangsa yang terkorban menerima sumbangan RM1,000, RM500 bagi setiap mangsa yang cedera sementara RM4,500 kepada rumah anak yatim berkenaan.
Sumbangan disampaikan oleh Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu yang mewakili Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.