HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Mei 2011

Muhyiddin temu anggota panel kaji silibus sejarah

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan anggota-anggota Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah yang dilantik berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Datuk Omar Mohd Hashim dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas itu manakala Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datin Paduka Prof Dr Ramlah Adam sebagai timbalannya.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim iaitu pakar sejarah Universiti Malaya (UM); Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman (pakar prasejarah Akademi Tamadun Melayu), Prof Dr Danny Wong Tze Ken dari Jabatan Sejarah UM dan Prof Dr Ranjit Singh Darshan Singh dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Yang lain ialah Ketua Jabatan Sejarah Universiti Malaysia Sabah Prof Madya Dr Ismail Ali, Penolong Prof Dr Shamrahayu Abdul Aziz dari Fakulti Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak Dr Neilson Ilan Mersat dan Dr Benedict Topin dari Persatuan Kebudayaan Kadazandusun.

Laporan Bernama menyebut, perjumpaan itu berlangsung di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Pada 14 Februari lalu, pentadbiran Najib menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan mengkaji semula silibus subjek Sejarah yang kini diajar di sekolah rendah dan menengah — langkah susulan selepas mata pelajaran dijadikan wajib bagi peperiksaan SPM.

Jawatankuasa itu akan memberi syor pindaan atau penambahbaikan jika diperlukan.

Ketika itu, Muhyiddin (gambar) yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 14 pakar yang terdiri daripada pensyarah dan wakil pelbagai pihak telah dipilih untuk menganggotai jawatankuasa itu.

Kata Muhyiddin, jawatankuasa itu dibentuk bagi memastikan sejarah pembentukan Malaysia digambarkan dengan baik dan tepat.

Jawatankuasa itu akan mengesyorkan kepada kerajaan langkah-langkah untuk memperbaiki sukatan sedia ada.

Kata beliau, tujuannya ialah kajian itu boleh menjana generasi yang benar-benar faham tentang sejarah dan patriotik selain mempunyai jatidiri yang kuat.

Muhyiddin berkata tidak semestinya akan berlaku perubahan besar terhadap kurikulum sejarah sedia ada, cuma mengambil kira perkembangan baru yang mungkin perlu dimasukkan dalam kurikulum mata pelajran itu.

Tiada ulasan: