KUALA LUMPUR – Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) bakal diperbadankan dengan sebahagian perkhidmatannya mungkin diswastakan bagi membolehkan stesen penyiar rasmi kerajaan lebih efisien dan berdaya saing.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Majlis Ekonomi Negara bagi penstrukturan RTM sebagai persediaan menghadapi era penyiaran digital sepenuhnya menjelang 2015.
“Sebagai sebuah badan penyiar utama di negara ini, RTM harus menjalani beberapa metamofosis atau perubahan... supaya menjadikan ia lebih tangkas dalam menjalankan tugas untuk negara di samping memberi kepuasan kepada penonton, yakni rakyat,” katanya di sini hari ini.
Dipetik laporan Bernama Online, Rais berkata RTM juga akan bekerjasama dengan badan penyiar lain seperti rangkaian Media Prima dan Astro untuk memastikan produktiviti pemberitaan dan industri penyiaran tanah air setanding media luar negara.
Beliau berkata usaha itu bakal memanfaatkan sepenuhnya tenaga kerja RTM berjumlah 4,900 orang.
Menurut laporan itu, Rais juga meminta petugas RTM supaya tidak bimbang dengan kedudukan mereka sekiranya stesen itu diperbadankan bagi memenuhi sistem penyiaran digital kerana kerajaan mempunyai kaedah tersendiri bagi memastikan suasana menang-menang.
“Kita tidak perlu gundah-gulana tentang sama ada seseorang itu dikeluarkan atau pun tidak, ada caranya. Tidak perlu kita nyatakan bahawa kita takut hilang kerja atau sebagainya.
“Tetapi yang penting sekarang ialah memperbadankan RTM supaya lebih efisien,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.