| KUALA LUMPUR: Tekanan dari pelbagai pihak semakin kuat ke atas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar bertanding jawatan timbalan presiden walaupun sebelum ini beliau telah memaklumkan tidak bersedia untuk ke jawatan itu.
Tekanan itu semakin memuncak apabila ramai yang mula tahu pencalonan yang diterima beliau tidak jauh bezanya dengan dua lagi calon popular timbalan presiden iaitu penyandangnya Ustaz Nasharudin Mat Isa dan AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.
Tuan Ibrahim dikatakan menerima 39 pencalonan untuk timbalan presiden manakala untuk naib presiden beliau menerima 97 pencalonan.
Ini bermakna, hampir kesemua kawasan yang diterima pencalonannya (146 pencalonan) ada nama Tuan Ibrahim untuk kedua-dua jawatan itu.
Pencalonan tinggi yang diterima beliau dalam keadaan beliau sudah memaklumkan keberatan untuk bertanding jawatan timbalan presiden juga telah menambahkan tekanan untuk beliau.
Ekoran itu, menurut sumber, ada cadangan agar Tuan Ibrahim bertanding kedua-dua jawatan iaitu timbalan dan naib untuk menghormati pencalonan kawasan-kawasan.
Selain Nasharudin, Mohamad Sabu dan Tuan Ibrahim, turut dicalonkan untuk jawatan itu adalah Datuk Seri Azizan Razak, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub.
Sehingga kini, hanya Nasharudin dan Mohamad Sabu mengesahkan untuk menyertai pertandingan jawatan timbalan presiden manakala Salahudin membayangkan akan hanya mempertahankan jawatannya sekarang iaitu naib presiden. Kesemua calon-calon untuk jawatan tertinggi PAS mesti mengesahkan kesediaan mereka untuk bertanding sebelum 26 Mei ini. Jawatankuasa Pemilih 2011 akan mengumumkan calon-calon itu pada 27 Mei |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.