Presiden amat menyedari harapan besar parti pimpinannya. Beliau sudah sembilan tahun mengemudi parti Islam itu dan dia sudah lama memikul harapan dan kepercayaan rakyat.
Laporan Muktamar Tahunan PAS ke 57
GOMBAK: Tirai Muktamar Tahunan PAS kali ke 57 dilabuh hari ini dengan perwakilan mahukan parti Islam terbesar negara mengambilalih Putrajaya bersama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU13) akan datang.
Pada masanya pimpinan tertinggi parti berulang kali beliau memperbaharui tekad dengan menyatakan PAS sudah sedia mengambilalih pemerintahan negara.
Hadi amat menyedari harapan besar parti pimpinannya. Beliau sudah sembilan tahun mengemudi parti Islam itu. Dia sudah lama memikul harapan dan kepercayaan rakyat.
Tetapi kali ini ahli dan penyokongnya sudah menghantar isyarat yang jelas dalam apa cara sekali pun Putrajaya mesti ditawan.
Namun misi ini tidak mudah. Semangat sahaja tidak cukup. Ia lebih memerlukan dari doa. Tidak hanya dengan ceramah sepanjang malam. Bukan juga dengan mendakwa orang Melayu dan kaum lain kini telah menyokong PAS.
Dalam mana-mana parti, masalah tetap wujud dan ini juga yang berlaku kepada PAS. Pemuda mahu kuota 40 peratus kerusi dalam PRU13. Muslimah pula mahu ahlinya dipilih untuk satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu kerusi Parlimen di setiap negeri.
Tetapi kemenangan kumpulan Erdogan dalam sebahagian besar jawatan parti bukan menjadi fokus. Beberapa pihak semakin berani mempertikaikan Dewan Ulama yang selama ini menjadi pemandu kepada PAS.
Mereka mendakwa ulama PAS tidak turun padang dan tidak memainkan peranan aktif selaras dengan perubahan politik PAS dan negara.
Harus diingat ini bukan kali pertama kali tuduhan seumpama itu dihalakan kepada Dewan Ulama. Ia diungkit di Kota Baru tahun lalu dan dalam muktamar sebelumnya.
Sehingga wakil Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfuz Mohamad yang juga Pesuruhjaya PAS Johor memberi jaminan akan berubah bagi memenuhi keperluan semasa.
“Walaupun ulama sudah bersedia tetapi semangat mereka melebihi orang muda. Insya’Allah dalam Himpunan Bersih 9 Julai ini ulama muda akan turun sama,” katanya dalam ucapan penggulungan.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din juga memberi jaminan ini, untuk bersama-sama turun padang.
Tidak seperti parti politik lain, isu dalaman PAS tidak mudah tersebar keluar. Jadi isu-isu sedemikian rupa dijangka tidak menjejaskan kekuatan keseluruhan parti.
Hadi boleh menjadi pereda kepada keadaan ini. Walaupun kepimpinannya mungkin tidak sebaik presiden terdahulu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor tetapi dia menjadi benteng kepada pertembungan puak-puak tertentu dalam parti.
Malang jika tidak boleh menerima kepelbagaian yang bercambah dalam PAS. Kepelbagaian ini telah menjadikan PAS bertaraf nasional. Kawan dan lawan mengakui PAS bukan parti yang boleh dipandang sebelah mata. Potensinya lebih besar dan lebih diyakini dari DAP dan PKR.
PAS mencabar hagemoni Umno yang ketika ini bertahan dengan kelompok kecil Melayu sahaja. PAS sudah memecah tembok perkauman menjadikan parti itu digeruni lawannya.
Malangnya PAS tidak bijak mengambil kesempatan itu. Isu perbahasan yang menjadi ukuran kematangan PAS juga berkisar kepada nafsu besar menawan Putrajaya.
Dan banyak isu lain pula merupakan ulangan dari muktamar lalu. Dalam keadaan begini, bolehkah menyakinkan masyarakat terbanyak parti itu sudah bersedia menawan Putrajaya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.