KUALA LUMPUR: Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) menuntut kerajaan menggubal Akta Gaji Minima dengan gaji lantai RM 1500 sebulan dan menolak Akta Konsultasi Gaji yang dicadangkan Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Wakilnya, A Sivarajan menuntut kerajaan supaya tidak dipengaruhi majikan dengan melengah-lengahkan pelaksanaan Akta Gaji Minima.
‘Kerajaan jangan menggunakan Akta Konsultasi Gaji sebagai ‘eyewash’ atau gula-gula untuk kempen pilihan raya dan sepatutnya menggunakan kewibawaan politik untuk menggubal Akta Gaji Minima,” kata A Sivarajan kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Terdahulu, kira-kira 50 wakil dari pelbagai pertubuhan berhimpun di hadapan bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum tuntutan pelaksanaan Akta Gaji Minima kepada Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, Menteri Sumber Manusia, Kaukus Pekerja Parlimen Malaysia dan Pengerusi BNBBC.
Turut hadir ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution,ahli parlimen Batu, Tian Chua, wakil dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), MTUC dan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.
Menurut Sivarajan, banyak kajian dilakukan berhubung Akta Gaji Minima termasuk oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sendiri.
“Justeru permintaan bagi satu gaji minima yang bermaruah, adil dan saksama adalah berdasarkan paras garis kemiskinan, pendapatan perkapita dan jurang kaya-miskin dinegara ini.
“Bank dunia menyatakan gaji pekerja di Malaysia hanya meningkat dengan kadar 2.6 % setahun. Malah, pada pada Ogos 2010, Menteri Sumber Manusia sendiri mengatakan bahawa 34 % daripada 1.3 juta pekerja di Malaysia mendapat gaji kurang dari RM 700.
“Jumlah ini adalah berada di bawah paras garis kemiskinan, iaitu RM 720 sebulan,” jelasnya.
Tambahnya, Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 tidak lagi efektif apabila hanya melaksana gaji minima kepada 4 sektor iaitu pembantu kedai, pekerja hotel, panggung wayang dan pemunggahan kargo.
“Jelas, penubuhannya tidak dapat menyelesaikan masalah malah Majlis Gaji tidak mempunyai taring untuk mendesak majikan mematuhi arahan,” katanya.
Justeru, Sivarajan berpandangan KSM pasti berdolak dalik dengan gimik politik termasuk penubuhan Majlis yang terdiri daripada kerajaan, majikan kesatuan dan NGO.
“Kami tidak mahu perkara ini berlaku. Gaji yang setimp dan wajar adalah hak pekerja. Hormati hak pekerja dan gubal Akta Gaji Minima,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan