HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Jun 2011

Hak milik tanah: Langkah kerajaan negeri sah, kata MB Selangor



Khalid Ibrahim menjawab soalan pada Program Khas Mesra Rakyat Daerah Sepang di Sepang hari ini. — Foto oleh Jack Ooi


SEPANG — Tan Sri Khalid Ibrahim mengecam tindakan MCA mendakwa tindakan kerajaan negeri Selangor memperbaharui hak milik tanah dan melanjutkan tawarannya sebagai tidak sah sambil meminta penasihat undang-undang parti itu mengambil semula pengajian perundangan.

“MCA sentiasa salah mengenai undang-undang. Saya rasa peguam-peguam MCA perlu mengkaji undang-undang tanah Selangor,” kata Menteri Besar Selangor kepada wartawan selepas Program Khas Mesra Rakyat Daerah Sepang di sini.

Khalid menegaskan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu telah mengkaji Kanun Tanah Negara dan undang-undang tanah negeri itu sebelum mengumumkan tawaran itu.

“Kuasa untuk mengubah undang-undang tanah Selangor terletak di bawah majlis eksekutif kerajaan negeri.

“Skim ini diluluskan oleh Exco kami dan ia di bawah nasihat penasihat kerajaan negeri,” katanya.

Di bawah Skim Pemilikan Kediaman Persendirian, yang dilancarkan 1 Jun lalu, rakyat Selangor boleh memohon untuk memperbaharui atau melanjutkan pajakan tanah mereka sehingga 99 tahun dengan kadar premium rendah iaitu RM1,000.

Skim yang ditawarkan ini terbuka kepada semua bentuk perumahan dan ia ditawarkan berikutan aduan daripada umum bahawa mereka tidak mampu untuk menanggung bayaran premium yang mahal sehingga boleh mencecah RM120.000.

Bagaimanapun skim ini hanya ditawarkan kepada satu pegangan hak milik kediaman persendirian dan tidak boleh dipakai untuk hartanah komersial.

Dalam laporan media hari ini, Ketua Biro Aduan Khidmat Awam MCA Selangor, Datuk Theng Book berkata kerajaan negeri Selangor telah melanggar Seksyen 76 Kanun Tanah Negara dan tawaran itu bertujuan untuk meraih sokongan rakyat.

Beliau juga berkata tawaran itu tidak berguna kepada pemilik-pemilik tanah yang mana mereka hanya boleh memindahkan harta mereka kepada anak lelaki.

“Ini bertentangan dengan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara, yang mana bayaran premium perlu dibayar sebelum mendapat hak milik tanah,” katanya.

Tiada ulasan: