GOMBAK — Dua belas bulan yang lalu, Pengarah Pilihan Raya Datuk Abdul Halim Abdul Rahman memberi peringatan bahawa PAS Selangor dan Kedah perlu melipatgandakan usaha memikat minimum 50 peratus daripada 1.2 juta orang yang belum mendaftar sebagai pengundi baru di negeri itu jika mahu Pakatan Rakyat mengekalkan tapak kuasa di kedua-dua negeri tersebut.
Hari ini, beliau mengulangi amaran itu pada hari terakhir Muktamar Tahunan Ke-57 dengan menegaskan kebanyakan PAS kawasan tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
“Jabatan Pilihan Raya pusat sudah mengeluarkan KPI tahun lepas, petanda aras kepada PAS kawasan dan negeri bahawa PAS mesti mendaftar 50 peratus ahli baru daripada apa yang dilakukan oleh Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya,” kata beliau ketika menggulung perbahasan peringkat Jabatan Pilihan Raya PAS hari ini.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa ini berkata, sekiranya keadaan itu berterusan maka sukar untuk memenuhi pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan Julai ini atau selepas September ataupun tahun depan.
“Kebanyakan (kawasan) belum capai (sasaran), jika tidak dibaiki sukar untuk kita menang,” katanya lagi.
Pada muktamar Jun lalu di Kelantan, Abdul Halim berkata, PAS perlu berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi baru kerana kini ada kira-kira 700,000 orang yang masih belum mendaftar sebagai pengundi di Selangor dan 300,000 orang lagi di Kedah.
“Jadi, kita perlu meletakkan sasaran untuk mendaftarkan separuh daripada mereka jika mahu menarik pengundi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya,” katanya ketika itu.
Sambil menegaskan ia sebagai satu peringatan serius menghadapi pilihan raya umum akan datang, Abdul Halim memberitahu, sasaran itu perlu dicapai menjelang hujung tahun ini.
Ketika itu muktamar tahun lalu, PAS telah meluluskan pelan 15 strategi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Kini, keseluruhannya seramai 3.9 juta rakyat negara ini belum mendaftar sebagai pemilih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.