Halaman

Ahad, 5 Jun 2011

Ibu rayu bantuan bawa anak pulang dari Lombok

THE MALAYSIAN INSIDER

KLUANG — Seorang ibu memohon bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno bagi membantu membawa pulang anak perempuannya yang berada di Lombok, Indonesia sejak tiga tahun lepas.

Joriyah Ismail, 41, dari Kampung Tengah, Layang-Layang dekat sini berkata, anak perempuannya, Norhalisa Umno@Mohammad, 23, menghubunginya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kira-kira dua bulan lepas yang memaklumkan mahu pulang ke negara ini selepas mengalami hidup susah di Lombok.

“Norhalisa menghilangkan diri dari rumah sejak berumur 19 tahun. Kami puas mencarinya di serata tempat dan menghubungi kawan-kawannya, bagaimanapun, usaha itu gagal sehinggalah saya diberitahu dia (Norhalisa) berada di Lombok melalui SMS yang dikirimkannya dua bulan lepas,” katanya selepas memohon bantuan kepada Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhamad Khairun Aseh di sini.

Dipetik laporan Bernama Online, Joriyah yang ditemani suaminya, Yunus Mat Zin, 45, berkata, Norhalisa memberitahu bahawa beliau berada di Lombok sejak tiga tahun lepas selepas berkahwin dengan seorang lelaki bergelar “Man” dan kini memiliki seorang anak lelaki berumur satu tahun setengah.

Menurutnya, Norhalisa menerusi beberapa SMS berikutnya memberitahu beliau bahawa anaknya itu tidak bekerja manakala “Man” pula meninggalkannya selepas mendapat pekerjaan di Brunei.

Dalam SMS itu, Norhalisa juga memberitahu hubungannya dengan ibu dan bapa mertua tidak baik dan beliau kini terpaksa menumpang di rumah seorang rakan di Gunung Mujur, Desa Bujak, Kecamatan Batukliang selepas bergaduh dengan mereka.

“Sudah beberapa kali dia minta saya bantu dia balik ke Malaysia. Walaupun saya tahu anak saya melakukan kesilapan tetapi ibu mana yang tidak risau bila anaknya menderita. Saya mohon mana-mana pihak supaya dapat membantu kerana kami orang susah,” katanya yang bekerja kilang.

Sementara itu, Muhamad Khairun berkata pihaknya dan Umno Bahagian Simpang Renggam akan berusaha mencari jalan membawa pulang Norhalisa ke pangkuan keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.