KUALA LUMPUR — Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mazlan Aliman yang menerima undi terbanyak pada pemilihan hujung minggu lalu mahu memperkukuhkan parti itu dalam mendapatkan sokongan pengundi kalangan peneroka Felda, yang selama ini dianggap sebagai “deposit hayat” Umno-BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Justeru, Mazlan mencadangkan agar partinya mengambil contoh kejayaan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang berjaya mendapat sokongan warga Felda walaupun terus mendapat kekangan daripada Umno.
“Sebab itu saya cenderung untuk membawa PAS berada di satu tahap di mana apa yang kita kemukakan akhirnya akan memberi matfaat kepada rakyat.
“Sebagai contoh isu Felda, saya sudah tangani perkara ini lama . . . dan Anak ditubuhkan untuk menjadi platform kepada warga Felda merujuk dan membuat aduan mereka dan sejak Anak ditubuhkan kita telah menerima beratus-ratus aduan dan ini menunjukkan warga Felda menerima dan mengiktiraf kehadiran Anak untuk membantu menuntut hak mereka.
“Jadi kita harus melihat kejayaan ini dan mengangkat ia ke tahap yang lebih tinggi agar konsep negara berkebajikan dapat kita laksanakan,” katanya yang juga Pengerusi Anak kepada The Malaysian Insider.
Tegas beliau, usaha-usaha dilakukan tidak harus dihentikan, sebaliknya perlu terus diperjuangkan agak hak rakyat dapat dibela.
“Kita tidak harus berhenti, sebaliknya kita harus sediakan lebih banyak pendekatan baru untuk meyakinkan masyarakat bahawa perubahan itu boleh berlaku sekiranya perubahan dasar dapat dilakukan.
“Kita tahu masalah yang berlaku ini tidak boleh diselesaikan selagi perubahan dasar tidak lakukan, dalam kes Felda ini masalah boleh selesai jika Felda Plantation dimansuhkan tapi kerajaan sedia ada tidak bersedia,” katanya.
Dalam perbualan ringkas dengan The Malaysian Insider, Mazlan juga menggesa barisan kepimpinan parti Islam itu agar mengadakan lebih banyak program dua hala bersama rakyat.
“Selain itu pemimpin juga harus sentiasa turun padang untuk berjumpa dengan rakyat, oleh sebab itu saya cadangkan agar pemimpin mengadakan lebih banyak program berbentuk dua hala supaya lebih dekat di hati rakyat.
“Rakyat kini sudah dekat dengan kita cuma bagaimana untuk kita menarik mereka untuk diterjemahkan dalam undi itu yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau juga mengakui kelemahan utama parti-parti politik adalah untuk menterjemahkan idea-idea yang dikemukakan dalam bentuk tindakan agar rakyat melihat kesungguhan membantu menyelesaikan masalah-masalah berbangkit.
“Saya nampak salah satu kelemahan parti-parti politik adalah sejauh mana mereka menterjemahkan idea dalam bentuk tindakan kerana idea yang dikeluarkan memang banyak tetapi apa yang mendukacitakan adalah tidak ramai yang boleh terjemahkan idea ini dalam bentuk tindakan.
“Kita juga perlu terjemahkan idea-idea kita dalam bentuk tindakan supaya rakyat dapat lihat apa yang kita lakukan, saya akui masih ada pemimpin yang berada dalam dunia sendiri atau kelompok sendiri dan ia akan menjadi masalah jika berterusan sebab itu saya minta pemimpin agar keluar dari kelompok ini dan berada dalam dunia sebenar,” katanya.
Tambah Mazlan, tawaran-tawaran yang dikemukakan Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga bukan gimik kosong dan ia akan dilaksanakan sekiranya parti perikatan itu menawan Putrajaya.
“Dengan kehadiran Anak ini, masalah-masalah yang dialami peneroka termasuk isu Felda Plantations boleh diselesaikan kerana kita sudah nyatakan dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat di mana kita akan mansuhkan Felda Plantations jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.
“Tawaran-tawaran yang kita lakukan ini bukan gimik, kita serius mahu melaksanakan apa yang dijanjikan... apa yang kita lontarkan ini akan dipraktikkan jika berjaya tawan Putrajaya,” katanya.
Mengenai kemenangan memperoleh undi terbanyak pada pemilihan ahli jawatankuasa kerja pusat minggu lalu, Mazlan berkata, kemenangan itu diperoleh atas prestasi beliau terutamanya dalam memperjuangkan nasib warga Felda yang ditindas.
Justeru, Mazlan menegaskan, kemenangan itu memberikan satu lonjakan agar terus bekerja keras bagi memastikan PAS berjaya menggantikan Umno pada pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan tidak lama lagi.
“Mengenai kemenangan saya ini, saya lebih suka bercakap dari sudut di mana ia adalah kehendak yang jelas ditunjukkan perwakilan dalam memilih barisan kepimpinan yang baru di mana perwakilan memilih berdasarkan prestasi calon terutamanya mereka yang sentiasa turun padang.
“Berdasarkan pengalaman saya 25 tahun bersama PAS, saya telah didedahkan dengan perkara ini (turun padang) selain masalah-masalah yang dihadapi masyarakat Felda... ketika itu saya hanya ahli biasa di peringkat akar umbi dan saya bermula dari bawah.
“Di mana ketika itu mereka meminta saya untuk membantu menuntut hak mereka memandangkan ketika itu saya aktif di peringkat akar umbi dan ini menjadi asas yang kuat kepada saya,” katanya.
Pada pemilihan PAS sesi 2011-2013, kerusi ahli jawatankuasa kerja pusat yang menawarkan 18 tempat, dua pertiganya dikuasai kumpulan profesional.
Mazlan memperoleh undi terbanyak iaitu 804, dan disusuli oleh Dr Hatta Ramli (765), Datuk Kamaruddin Jaafar (739), peguam PAS Hanipa Maidin (735), Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721) dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad (702).
Jelas beliau, keputusan pemilihan kali ini menggambarkan perwakilan sudah bijak untuk memilih calon yang layak dan berkredibiliti untuk memikul tanggungjawab yang diberikan.
“Pemilihan kali ini dianggap berada dalam keadaan tenang jika hendak dibandingkan dengan pemilihan 2009, keputusan yang dibuat perwakilan menggambarkan kematangan dan pertimbangan terhadap calon yang bertanding.
“Kalau hendak dibandingkan dengan 20 tahun lalu, perwakilan akan merujuk kepada kepimpinan parti terlebih dahulu untuk mendapatkan gambaran calon mana yang hendak disokong dan pada kali ini ia menunjukkan perkembangan yang mana perwakilan mempunyai kematangan dalam memilih pemimpin,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.