Apatah lagi mutakhir ini walaupun ramai di kalangan masyarakat Melayu Islam yang menerima politik sebagai sebahagian daripada agama, namun kebelakangan ini politik negara dibejati oleh amalan-amalan yang tidak mengikut batas dan syariat.
" Kemurnian politik telah dicemari oleh tindakan jijik menerusi rasuah politik wang, fitnah, sikap perkauman sempit, pembohongan, dan segala macam perkara kotor yang memalukan anak-anak yang menjadi penonton di sekeliling kita. Politik seperti ini perlu dimurnikan, dan sudah tentunya Umno-BN akan gagal untuk membersihkan politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri,"kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya.
Menurut Hadi, bagi menghindari perkara seperti ini terus menjadi amalan, PAS sebagai parti berteraskan Islam perlu bertindak menyelamatkan negara dan rakyat khususnya yang beragama Islam yang kini hilang punca dan untuk membetulkan amalan salah itu.
Katanya, pemimpin Melayu Islam yang mengelirukan majoriti rakyat beragama Islam dan tidak boleh menjadi model kepada bukan Islam adalah mereka yang telah dijangkiti keruntuhan moral dan zalim, rasuah dan menyalahgunakan kuasa sehingga amanat besar yang diwajibkan ke atas mereka diabaikan.
“Dalam pentas politik negara kita ini, Umno adalah merupakan parti majoriti Melayu dan Bumiputera yang telah diberi amanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing tetapi telah dibarahi penyakit warisan penjajah yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama.
“Akibatnya amanah besar ini dijadikan peluang kebendaan yang menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat yang akhirnya harta negara menjadi milikan peribadi pemimpin mereka lalu meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini,” katanya.
Beliau berkata, senario sebegini terus menerus berlaku apabila urus tadbir dan tata kelola pengurusan sumber dan khazanah negara tidak mengambil dan merujuk kepada falsafah serta jauh sekali menghayati tuntutan Islam.
“Umat Melayu Islam sebagai teras politik dalam negara kita ini semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya apabila tidak menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah dan tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk,” katanya.
Katanya, Umno sekadar bertindak mengekalkan kuasa mereka dan bukannya memartabatkan Melayu dengan Islam kerana Melayu Umno tetap menyokong BN walaupun di kawasan PAS bertanding menentang calon MCA dan MIC.
Sebaliknya, tegas beliau sudah ramai bukan Melayu dan bukan Islam yang komited mengundi calon PAS yang menentang calon MCA dan MIC dari BN.
“Hakikatnya Umno telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan membodohkan mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.