PETALING JAYA : Human Right Party (HINDRAF) membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Najib Razak dan Kementerian Pengajian Tinggi kerana gagal memberikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar berbangsa India yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Laporan itu turut menamakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam.
Timbalan Presiden HINDRAF, V, Selvam berkata, selain menyiasat isu biasiswa, pihaknya juga mahu polis meneliti kuota Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Naisonal (PTPTN) dan sistem matrikulasi yang dilihat meminggirkan pelajar India yang cemerlang dalam pelajaran.
“Hari ini kita telah membuat tujuh laporan polis terhadap Perdana Menteri, TPM, dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin. Tujuan kita membuat laporan polis ini untuk polis menyiasat isu berhubung biasiswa, PTPTN dan kuota matrikulasi. Kita mahu pihak polis menyiasat selanjutnya,” katanya.
Selvam turut menyatakan Artikel 8(1) yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung sistem kuota harus adil bagi semua kaum.
Sebelum ini Kementerian Pengajian Tinggi diasak kontroversi 86 pelajar lepasan SPM yang cemerlang dengan mendapat keputusan 9A+, tidak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara sebaliknya hanya ditawarkan program Diploma sahaja.
Kontroversi itu reda selepas kementerian itu menawarkan pelajar- pelajar tersebut tempat di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam negara.
Pecahan kaum pelajar- pelajar berkenaan adalah, tiga pelajar Melayu, seorang Bumiputera Sarawak, 71 Cina dan 11 India.
Baru- baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan Putrajaya tidak pernah menjanjikan biasiswa kepada kesemua pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM untuk belajar di luar negara.
Sebaliknya kerajaan hanya komited untuk memastikan setiap pelajar cemerlang diberi jaminan tempat di institusi tempatan dan luar negara dengan biasiswa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.