MALAYSIA KINI
Merujuk kepada pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kampung Bharu (PPKB) 2011 yang dicadangkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa sebahagian tuntutan pemilik tanah Kampung Bharu yang saya suarakan selaku wakil rakyat Titiwangsa telah diambilkira oleh pihak Kementerian. Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu juga dipinda dan dijelaskan kepada penduduk sebelum ia dibentangkan di parlimen.
Kedudukan Lembaga MAS
Fasal 57 RUU PPKB 2010 yang asal memperuntukkan pembubaran Enakmen Petempatan Pertanian Melayu (MAS) dan Lembaga Pengurusan MAS telah dipotong. Ini sesuatu yang baik tetapi dengan pindaan ini apakah status Lembaga MAS dalam PPKB?
Oleh yang demikian, saya mencadangkan Kementerian memperkasakan kedudukan Lembaga MAS ini dengan terus menyerap Lembaga MAS sebagai penasihat PPKB di bawah Fasal 19 RUU PPKB 2010.
Rasionalnya, jika melihat kepada Fasal 19 dan 20 RUU PPKB 2010, ia menubuhkan suatu majlis penasihat yang dimaklumkan oleh kementerian yang mana keanggotaannya akan dilantik daripada kalangan anggota Lembaga MAS.
Dengan in,i Fasal 20 RUU PPKB 2010 tidak diperlukan lagi kerana Lembaga MAS sendiri telah mempunyai keanggotannya sendiri yg terdiri daripada ketua kampung yang mewakili tujuh kampung dalam Kampung Bharu dan juga pengerusi.
Dengan kata lain, pengerusi Lembaga MAS bertindak sebagai pengerusi majlis penasihat dan seterusnya. Ini akan lebih menjamin hak pemilik tanah Kampung Bharu kerana Lembaga MAS yang mentadbir Kampung Bharu boleh menjadi pengimbang (semak dan imbang) kuasa perbadanan yang luas itu.
Keanggotaan Perbadanan
Fasal 5(1) Keanggotaan Perbadanan telah dikurangkan dan ditambah. Penambahan dibuat dengan memasukkan timbalan pengerusi yang mana dalam RUU PPKB 2010 yang asal jawatan ini tidak ada.
Kenapa dalam Fasal 5(2) ini tidak disebut perlantikan mestilah daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah Kampung Bharu? Adakah ada helah di sebalik perlantikan ini?
Kenapa pertukaran ini dibuat? Apa faedahnya dan kebaikannya melantik lima orang wakil NGO? Adakah ini juga disebabkan lobi-melobi daripada NGO yang diketahui mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu atau yang gilakan jawatan dalam perbadanan?
Apakah signifikannya perlantikan mereka ini?
Mekanisma pembangunan
Mengikut RUU PPKB 2010 yang asal, disebutkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 di Fasal 15(2)(h) tetapi dalam pindaan yang dicadangkan, peruntukan itu telah dipotong.
Perlu diambil ingatan bahawa dengan pemotongan Fasal 15(2)(h) tersebut ia tidak memberikan apa-apa makna kerana Akta Pengambilan Tanah 1960 masih boleh digunakan.
Jika benar Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak mahu dan tidak akan digunakan kenapa tidak dimasukkan terus peruntukan yang spesifik bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan digunakan dalam pembangunan Kampung Bharu?
Jika begitu keadaannya, bagaimanakah pula bentuk rancangan pembangunan yang hendak dijalankan? Apakah ia akan melibatkan pemindahan penduduk sepanjang tempoh pembangunan tersebut?
Apa yang paling penting, RUU yang asal yang telah dibentangkan pada 17 Disember 2010 masih belum ditarik balik di parlimen.
Segala pindaan yang dicadangkan itu tidak bermakna dan tidak akan menjadi sebahagian daripada undang-undang selagi mana RUU yang asal masih berada di parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.