KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak dilihat menjadi perdana menteri pertama menghadiri majlis rasmi anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam empat dekad ini, tetapi kepimpinan baru badan induk kesatuan sekerja itu menafikan perkembangan tersebut bukan bermakna pihaknya sudah “menggadaikan” prinsip perjuangan mereka, kata presidennya.
Kehadiran Najib pada satu majlis malam ini, yang pertama sejak menjadi perdana menteri pada April 2009, muncul ketika pilihan raya umum ke-13 disebut semakin dekat.
MTUC dengan dianggotai sekitar 600,000 ahli merupakan badan induk kesatuan sekerja negara ini.
Mohd Khalid Atan yang dipilih sebagai presidennya Disember lalu berkata, beliau menyedari ada pihak melabelkan pihaknya sudah lari daripada perjuangan dengan mengundang Najib selaku perdana menteri menghadiri majlis keramaian anjuran MTUC hari ini.
“Anda pun dengar begitu? Sebenarnya tidak,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Najib dijadual menghadiri majlis makan malam sempena Hari Pekerja 2011.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Timbalan Presiden MTUC Mohd Jafar Abd Majid berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan telah bersetuju untuk hadir bersama lebih 600 pemimpin kesatuan gabungan MTUC dari seluruh negara.
Khalid berkata, berdasarkan maklumat yang ada padanya perdana menteri terakhir menghadiri majlis rasmi MTUC ialah Allahyarham Tun Abdul Razak.
Pertengahan 1990-an, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu timbalan perdana menteri merasmikan bangunan ibu pejabat MTUC di Subang Jaya.
Sekitar tempoh itu, kepimpinan MTUC pernah mengadakan perbincangan isu kesatuan sekerja dengan perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad khususnya berkaitan dengan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Sebelum ini, MTUC dilapor mengambil pendekatan tidak memanggil perdana menteri atau anggota Kabinet merasmikan majlis berkaitan Hari Pekerja.
Khalid berkata, MTUC pernah menjemput Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini untuk menghadiri majlis anjurannya.
“Kami (kepimpinan baru MTUC) mahu mengambil pendekatan praktikal, kami pun tidak kisah jika pihak pembangkang sedia bekerjasama dengan kami untuk menyelesaikan masalah pekerja,” kata Khalid yang menewaskan Syed Shahir Syed Mohamud, yang gagal dalam usaha mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.
Syed Shahir, pemimpin PKR, didakwa rapat dengan kepimpinan Pakatan Rakyat.
Barisan Khalid menyapu bersih kerusi utama kepimpinan MTUC akhir Disember lalu.
“Oleh itu tidak benar jika mengatakan bahawa kehadiran perdana menteri bermakna kami sudah dipengaruhi oleh pentadbiran Najib,” kata Khalid yang berjanji bahawa beliau akan mengetengahkan sekurang-kurangnya enam isu penting untuk perhatian Najib malam ini.
“Tidak bermakna dengan Datuk Seri Najib datang, saya hendak dan akan memuji beliau, tidak... saya sudah sediakan ucapan, dan saya akan senaraikan isu-isu pekerja negara ini,” kata beliau.
Isu-isu yang bakal dibangkitkan beliau termasuklah dasar gaji minimum, menyediakan elaun kos sara hidup yang kini hanya dinikmati kakitangan awam, cuti bersalin 90 hari, kehadiran pekerja asing, sistem perhubungan industri yang lebih baik dan usia persaraan 60 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.