KUALA LUMPUR — Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) kecewa dan terkejut dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) dekat Petaling Jaya malam tadi ekoran satu aduan yang tidak spesifik.
“Sejak kebelakangan ini, kita telah menyaksikan peningkatan insiden di mana orang Kristian menjadi sasaran kepada tuduhan-tuduhan tidak berasas dan prejudis pelbagai kumpulan serta beberapa media arus utama yang membuat kenyataan-kenyataan berbaur menghasut, yang bercanggah dengan semangat 1 Malaysia,” kata Pengerusi CFM Biskop Datuk Ng Moon Hing dalam satu kenyataan media petang ini.
Sehubungan itu kata Ng, pihaknya berharap pihak berkuasa dan juga Sultan Selangor akan perkenan mengarahkan satu siasatan yang menyeluruh berhubung serbuan tidak berasas semalam.
“Kami juga menggesa kerajaan dan kesemua rakyat Malaysia berganding untuk membina sebuah negara yang benar-benar harmoni berdasarkan perasaan saling hormati-menghormati, dialog dan persefahaman,” kata beliau sambil mengucapkan salam Ramadan kepada umat Islam negara ini.
Kata beliau, majlis makan malam anjuran Harapan Komuniti, sebuah pertubuhan bukan kerajaan pembangunan komuniti, merupakan majlis kesyukuran tahunan, yang diadakan untuk mengenang usaha pihaknya engadakan pelbagai projek komuniti demi kepentingan rakyat Malaysia.
Oleh itu kata beliau, adalah sesuatu yang tidak kena apabila sambutan itu yang menghimpunkan sukarelawan, pemimpin, penyokong dan anggota masyarakat diganggu menerusi serbuan oleh pihak pengkuasa agama negeri.
Kata beliau, tindakan Jais dan polis malam tadi telah menjejaskan nilai saling hormat-menghormati dan keharmonian yang harus disajikan kepada setiap orang tanpa mengira agama, budaya atau latar belakang.
“Kami juga mempersoalkan kesahihan serbuan dan juga tindakan menyoal siasat dan menghina para hadirin pada majlis makan malam, sama ada pegawai-pegawai terbabit telah bertindak mengikut lunas perundangan,” katanya lagi.
Awal pagi ini, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa Jais dan polis menyerbu majlis makan malam yang dihadiri pelbagai kaum di DUMC malam tadi ekoran satu aduan didakwa tidak spesifik.
Pastor kanan DUMC Dr Daniel Ho berkata, kira-kria 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.
Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.
“Ini adalah majlis makan malam bagi orang ramai datang atas semangat 1 Malaysia. Kebanyakannya beragama Kristian . . . ada juga (hadirin), kira-kira 15 orang Melayu,” katanya lagi.
Pihak berkuasa berkenaan menyoal siasat hadirin tetapi tiada sesiapa pun yang ditahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.