AMPANG : Pengarah Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyelar tindakan Dawama Sdn Bhd yang mengarahkan hampir 400 pekerja bercuti tanpa gaji bermula semalam sambil menyifatkan ia perkara yang melanggar hak pekerja dan biadap.
Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat menegaskan bahawa Dawama tidak mempunyai hak untuk mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji sebelum menjelaskan semua bentuk bayaran.
"Syarikat tidak boleh mengarahkan pekerja bercuti tanpa gaji sehingga satu jalan penyelesaian dibuat termasuk majikan memotong gaji sendiri dan juga potongan-potongan lain (yang dibuat) harus dijelaskan.
"Di mana kedudukan pekerja dalam hal ini, ini adalah satu tindakan biadab macam undang-undang ini bapa dia yang...pekerja ada hak ke atas syarikat dan ini merupakan satu pencabulan hak pekerja," katanya pada sidang media di depan pejabat Dawama, Hulu Klang di sini.
Dawama, syarikat konsesi mencetak dan mengedar buku dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada minggu lalu telah memberikan notis cuti tanpa gaji kepada 380 pekerja ekoran masalah kewangan dihadapinya.
Abdullah akan membawa perkara itu ke perhatian Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia petang ini juga, bagi menyelesaikan masalah ini.
"Tindakan Dawama ini merupakan satu penganiayaan kepada pekerja-pekerja dan apa yang berlaku ini adalah pencabulan undang-undang.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, syarikat telah aniayai dan mengkhianati undang-undang negara...kita tidak akan biarkan ia berterusan," katanya sambil turut meminta Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd membawa perkara itu ke perhatian Kementerian Sumber Manusia.
Semalam kira-kira 200 pekerja Dawama mengadakan protes bantahan mendesak Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.
Notis itu yang menggariskan pertikaian dengan DBP sebagai alasan, agensi terletak di bawah Kementerian Pelajaran, sebagai punca kepada tindakan tersebut.
Dawama dilaporkan berhadapan dengan masalah kewangan rumit.
Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd Zainal Awit yang turut hadir dalam sidang media itu juga sekali lagi meminta Muhyiddin agar membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja-pekerja.
Turut hadir sama dalam sidang media itu Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.