Halaman

Khamis, 4 Ogos 2011

Enam pemimpin PSM dicaj miliki bahan subversif

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang dibebaskan daripada tahanan Ordinan Darurat Jumaat lalu, hari ini dikenakan tuduhan memiliki dokumen-dokumen subversif.

Keenam-enam mereka (gambar) termasuklah Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Devaraj Jeyakumar, meminta agar dibicarakan atas tuduhan di bawah Seksyen 43 dan 48(1) Akta Pertubuhan dan juga di bawah Seksyen 29(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth Kamal Hisham Mohd Tajuddin menetapkan ikat jamin RM8,000 ke atas setiap tertuduh.

Kes mereka akan didengar pada 10 Oktober ini.

Selain Dr Jeyakumar, lima yang lain iaitu setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P.Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M.Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R. Sarat Babu, 25, telah dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Mereka ditahan sejak 2 Julai lepas di Seberang Prai, Pulau Pinang mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan).

Sebelum itu, mereka ditahan bersama 24 yang lain dalam sebuah bas persiaran di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas pada 25 Jun dan didakwa di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana cuba melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Keenam-enam mereka akan dibicarakan bersama 24 aktivis PSM lain yang telah didakwa sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.