KUALA LUMPUR — Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) mahu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali membuat penjelasan terbuka mengenai serbuan ke atas satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya kelmarin ekoran kewujudan fakta ‘bercanggah’.
Timbalan Pengerusi Proham Datuk Hamdan Adnan berkata satu penjelasan terbuka perlu dilakukan Jais dan Hasan bagi menjelaskan mengapa serbuan itu dilakukan.
“Proham mahu Jais dan Exco Selangor (Hasan) untuk membuat satu penjelasan terbuka berhubung tindakan serbuan itu dilakukan.
“Kita juga mahu satu dialog diadakan dengan pemimpin Gereja Methodist Damansara Utama supaya perkara ini dapat diselesaikan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, serbuan itu tidak mengikut lunas undang-undang selain bertentangan dengan hak asasi manusia.
“Proham melihat terdapat satu trend di mana institusi awam tidak mempedulikan hak asasi manusia dalam tindakan mereka dan ini akan memberi implikasi negatif terhadap hubungan rakyat berbilang kaum.
“Serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama oleh dua agensi iaitu Jais dan polis pada hari itu adalah satu contoh jelas di mana mereka mengabaikan hak asasi manusia,” katanya.
Jelas Hamdan, tuduhan bahawa program itu mahu memurtadkan umat Islam adalah tidak berasas kerana tiada bukti mengaitkan perkara itu.
“Berdasarkan laporan media, Jais bertindak atas aduan yang tidak didedahkan, malah Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata serbuan itu dibuat kerana ada bukti mahu memurtadkan umat Islam tapi tiada bukti yang diumumkan.
“Sementara itu, Pastor Daniel Ho berkata program itu disertai rakyat berbilang kaum yang dianjurkan Harapan Komuniti, ia adalah majlis makan malam untuk menghargai sukarelawan,” katanya.
Tegas beliau, tindakan membuat serbuan tanpa waran geledah bertentangan dengan undang-undang sedia ada.
“Ia merupakan satu gangguan ke atas satu program sosial selain akan menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan penganut Kristian, tindakan ini (serbuan tanpa waran) merupakan perkara yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Kelmarin, kira-kria 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam.
Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.
“Ini adalah majlis makan malam bagi orang ramai datang atas semangat 1 Malaysia. Kebanyakannya beragama Kristian... ada juga (hadirin), kira-kira 15 orang Melayu,” kata Ho kelmarin.
Bagaimanapun Hasan mempertahankan tindakan Jais atas alasan ada bukti mahu memurtadkan umat Islam.
Beliau menegaskan, maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan malam tadi.
Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan.
Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri pimpinannya memandang serius tindakan Jais dan polis menyerbu majlis makan malam muhibbah itu.
Tambah Hamdan, pihaknya juga memandang serius tindakan yang dilakukan pegawai Jais dan polis dalam serbuan itu.
“Sepatutnya kita jangan buat tuduhan sembarangan tanpa mendapat maklumat dan bukti yang cukup. Kita boleh menggunakan pendekatan berdialog bagi menyelesaikan perkara berbangkit,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.