HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Ogos 2011

Fomca patut didik pengguna jimat air, bukan wakili syarikat swasta

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor mengesyorkan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendidik pengguna menggunakan air secara berhemah dan bukan menjadi suara kepada industri air swasta yang mahu menaikkan tarif air di Selangor yang membebankan pengguna.

Justeru, kenyataan presiden Fomca, Datuk N Marimuthu bahawa kenaikan tarif air perlu dilaksanakan demi menampung kos operasi dan menjamin pembekalan air yang berkualiti serta berterusan di Selangor adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Ia terlalu bergantung kepada Kajian Sumber Air Nasional (NWRS) yang dilakukan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2000.

“Anggaran NWRS perkapita bahawa keperluan air tidak berdasarkan pada Design Guidelines for Water Supply Systems yang dihasilkan Persatuan Air Malaysia seperti kita fahami.

“Pendekatan keperluan air yang didasarkan pada unjuran pertumbuhan KDNK nasional berubah mengikut pasaran ekonomi global. Ia tidak stabil sejak krisis ekonomi dunia yang turut menjejaskan Malaysia,” kata Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Justeru beliau menjelaskan, pihak yang mengatakan jumlah bekalan air tidak cukup untuk memenuhi keperluan sepatutnya menyertakan unjuran permintaan terhadap air.

Ini kerana unjuran permintaan menunjukkan terdapat lebihan bekalan air untuk memenuhi keperluan pelanggan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Anggaran NWRS untuk Selangor dan Kuala Lumpur antara 500-1,224 liter per kapitan sehari pada 2010, berbanding dengan penggunaan air per kapita sehari dilaporkan untuk bandar-bandar utama dunia seperti Singapura 328 liter, Sydney 214 liter, dan New York 420 liter.

“Yang perlu diberi perhatian adalah Non-Revenue Water dimana di Selangor yang berkadar tinggi pada tahap 30% dan Syabas sehingga kini belum lagi menurunkan tahap NRW ke tahap yang boleh diterima.

“Selangor mempromosikan pemuliharaan air dan menggalakkan penggunaan bijaksana, kitar semula air, pengumpulan dan pemprosesan air hujan, menurunkan kadar NRW dan meneroka sumber air alternatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Dua bulan lalu kerajaan negeri bertemu dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, (KeTTHA) Datuk Seri Peter Chin Kah Fui untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri air,” jelas Elizabeth.

Dasar penswastaan air diperkenalkan di Selangor pada 1997 ketika negeri itu ditadbir oleh Barisan Nasional jelas membebankan rakyat.

Pada 5 Disember 2010, 15,000 rakyat Selangor berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan kenaikan 37% tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan memohom campur tangan DYMM Yang Dipertuan Agong.

Tindakan Syabas yang cuba menaikkan tarif air merupakan sabotaj dari Umno-BN untuk menggagalkan skim pemberian air percuma 20 meter padu, salah satu skim dari program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Ia boleh diselesaikan jika semua pihak memberi tekanan kepada kerajaan Pusat untuk menyelesaikan proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air. Kita berharap Menteri tidak melengahkan masa atau menunda isu ini,” kata Elizabeth.

Tiada ulasan: