Halaman

Khamis, 4 Ogos 2011

Himpunan Bersih: Salah tangkapan, proses saman polis bermula

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Pemimpin PAS hari ini memulakan proses memfail saman berhubung isu tangkapan salah menjelang himpunan Bersih 2.0 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ditemani Pengerusi Lajnah Undang-undang Pas Pusat, Asmuni Awi, saman itu difail Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dengan menamakan Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Razman ditahan kira-kira jam 11 pagi 9 Julai 2011 di KL Sentral atas arahan seorang pegawai berpangkat Inspektor, selama lebih 10 jam tanpa dinyatakan alasan penahanan.

Justeru, plaintif menuntut mahkamah mengisytihar penahanannya sebagai salah, tidak sah dan menyalahi undang-undang serta menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi am dan lain-lain kos yang difikirkan sesuai.

Ditemui di perkarangan mahkamah, Asmuni berkata, saman itu adalah permulaan kepada puluhan saman lagi yang akan difailkan kelak.

“Dari Perak sahaja, 50 saman akan difailkan. Semua dibuat secara berasingan dan kes menjurus kepada tangkapan salah oleh polis.

“Dari negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan bakal menyusul. Jumlahnya banyak dan ia akan diuruskan melalui lujnah ini dan Jabatan Hak Asasi (Juham),” katanya.

Mengulas lanjut, Asmuni berkata, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub dijadual memfail saman mereka Isnin depan.

“Ini kerana tangkapan mereka dibuat diluar dari kawasan perintah larangan,” kata Asmuni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.