Oleh: Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali, optimis Pakatan Rakyat bukan hanya mempertahankan beberapa negeri yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum akan datang, malah berupaya mencapai kemenangan lebih besar.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang sebuah berita portal yang melaporkan keputusan pilihan raya olok-olok dijalankan Umno baru-baru- menunjukkan bertambahnya sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat.
“Saya yakin dengan kematangan rakyat, kerana mereka tahu tanggungjawab mereka. ‘Mood’ rakyat hari ini membuatkan kami optimis bahawa Pakatan Rakyat bukan hanya akan mempertahankan negeri atau kerusi yang dimenangi, malahan berupaya mencapai kemenangan yang lebih besar,” kata Azmin.
“BN boleh mendakwa atau mengelak apa sahaja isu, tetapi mereka perlu sedar bahawa masa depan negara ini terletak di tangan rakyat Malaysia,” ujar beliau ketika satu sidang media di Hulu Kelang, hari ini.
Akhbar internet Malaysian Insider melaporkan keputusan pilihan raya olok-olok yang diadakan oleh BN baru-baru ini, menunjukkan Perak akan jatuh semula ke tangan Pakatan, Negeri Sembilan berjaya ditawan sementara Johor pula kehilangan 15 kerusi kepada Pakatan Rakyat.
Sementara itu, Azmin turut ditanya mengenai gangguan polis ketika pelancaran bilik gerakan Demi Rakyat anjuran KEADILAN cabang Petaling Jaya Selatan (PJS) 29 Julai lalu.
Menurut Azmin, tindakan Umno berterusan memperalatkan polis menunjukkan parti itu kini terpaksa bergantung kepada institusi awam untuk menyekat program anjuran Pakatan Rakyat.
“Kalau benar Umno dan Barisan Nasioal itu kuat, mengapa mereka menggunakan jentera kerajaan? Mereka terpaksa bersandar kepada institusi awam termasuk kehakiman dan polis untuk menekan rakyat,” katanya kepada Keadilandaily.
“Tetapi saya gembira kerana ramai anggota kerajaan dan pentadbir awam yang memahami isu di bawah dan mendokong perjuangan Pakatan Rakyat,” kata Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan