KUALA LUMPUR — Kempen Seorang Sekampit Beras anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang bertujuan membantu golongan miskin sempena bulan Ramadan berjaya mengutip lebih 1,500 kampit beras dan RM2,000 tunai setakat ini.
Setiausaha Agung Abim Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata pihaknya menjangkakan sumbangan tersebut akan meningkat dalam tempoh terdekat memandangkan bulan Ramadan baru sahaja bermula.
Beliau berkata banyak pihak termasuk syarikat dan orang perseorangan menyatakan komitmen kepada Abim untuk menjayakan kempen itu yang kali pertama dianjurkan pada 2006.
“Wang tunai lebih kurang RM2,000 yang kami terima setakat ini akan ditukar untuk membeli beras. Abim akan memastikan bantuan kepada golongan miskin yang memerlukan itu akan dilakukan sepanjang Ramadan,” katanya dipetik Bernama Online.
Ditanya mengenai kemungkinan untuk memperluaskan pemberian bantuan kepada semua golongan tanpa mengira kaum mahupun agama, Mohamad Raimi berkata Abim tidak mempunyai sebarang halangan untuk melaksanakan inisiatif itu.
“Sebelum ini, Abim pernah menjalin kerjasama dengan pertubuhan Buddha, pertubuhan Hindu Sangam, pertubuhan orang buta dan pekak untuk tujuan yang sama.
“Sememangnya memberi bantuan kepada semua golongan adalah sesuatu yang dituntut di sisi agama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.