HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 September 2011

Debat: Pemuda PAS kata KJ tak layak cabar Mat Sabu

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Pemuda PAS pusat mencabar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin agar menyahut jemputan sayap parti Islam itu untuk berdebat secara ilmiah dengan ketua mereka Nasrudin Hassan bagi mencari kebenaran fakta sejarah kemerdekaan negara.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor berkata, Khairy tidak layak untuk mencabar Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (gambar) untuk berdebat dengannya memandangkan beliau hanya seorang ketua Pemuda.

Sebelum ini, Khairy berkata beliau bersedia bertemu dengan Mohamad pada satu wacana yang dirancang untuk diadakan oleh kerajaan negeri Kelantan.

Bagaimanapun Mohamad menolak. menyebabkan Khairy, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional, menyifatkannya sebagai bacul dan tidak bermaruah.

“Sekiranya benar mahu diadakan debat bersama Mohamad Sabu, maka Timbalan Presiden Umno adalah calon yang paling sesuai. Pemuda PAS akan sentiasa menyokong berdebatan antara kedua tokoh ini jika diadakan perdebatan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kira-kira pukul 2.30 petang tadi Setiausaha Pemuda PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil menyerahkan surat pelawaan kepada Pergerakan Pemuda Umno untuk mendebatkan isu semasa menyentuh fakta kemerdekaan secara ilmiah.

Surat itu diserahkan kepada Penolong Setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdouz Megat Junid.

Khairul berkata surat yang dialamatkan kepada Khairy, tetapi mengundang sesiapa sahaja dari Pemuda PAS untuk menyertai debat.

“Kami menyerahkan kepada mereka, nak hantar siapa dan jumlah orang yang hendak berdebat... dua atau tiga orang, tak kisah ketua atau naib, tetapi wakil Pemuda Umno.

“Debat ini bukan hendak mencari salah siapa, tetapi mencari kebenaran fakta sejarah perjuangan kemerdekaan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Dalam kenyataannya, Riduan pula berkata, medan yang paling sesuai untuk Khairy adalah dengan Pemuda PAS.

“Inilah gelanggang yang paling dinantikan oleh anak-anak muda selama ini. Biarlah generasi muda pada hari ini menilai sejarah dari perspektif yang akan diungkapkan oleh kedua-dua tokoh pemuda ini.

“Sejarah juga akan mencatat bahawa pernah ada suatu perdebatan bagi mencari kebenaran di sebalik sejarah kemerdekaan negara antara Pemuda PAS dan Pemuda Umno,” katanya lagi.

Riduan menambah cabaran debat ini diadakan bagi mencungkil sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara yang selama ini digelapkan oleh penulisan sejarah yang berat sebelah.

“Pemuda PAS tidak sekali-kali menyalahkan pejuang kemerdekaan negara yang diangkat dan dimartabatkan selama ini. Sebaliknya yang paling dikesali adalah sejumlah besar pejuang-pejuang kemerdekaan negara yang sama-sama memerah keringat, air mata dan darah bagi mendapatkan sebuah kemerdekaan tidak dicatatkan dalam sejarah sebagai pejuang atau wira negara,” katanya lagi.

Sebagai contoh kata beliau, rakyat yang selama ini membaca dari satu sumber sejarah merasa terkejut apabila Mat Indera, antara individu dalam tragedi Bukit Kepong, tiba-tiba diangkat sebagai wira.

“Selama ini sejarah menganggap Mat Indera adalah petualang atau pengkhianat negara. Dalam pada serangan bertali arus terhadap Mohamad Sabu yang mendedahkan isu ini, buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada 2004 telah mengiktiraf Mat Indera sebagai tokoh negeri Johor. Ertinya kerajaan negeri Johor sendiri mengiktiraf ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan,” katanya lagi.

Selain beliau, katanya, ramai lagi nama yang sebelum ini ‘dihitamkan’ dalam buku sejarah negara perlu dibersihkan nama mereka.

“Pemuda PAS mempunyai bukti ramai pahlawan negara yang terkorban bagi membela negara tidak diiktiraf peranan mereka. Justeru, jika Khairy benar-benar ‘anak jantan’, Pemuda PAS mencabar beliau untuk berdebat di gelanggang terbuka. Tentukan syarat, masa, tarikh dan lokasi, Pemuda PAS tetap akan hadir menanti,” katanya lagi.

Tiada ulasan: