Halaman

Ahad, 4 September 2011

Najib anggap Noramfaizul wira sebenar, dikebumi esok

THE MALAYSIAN INSIDER

PERTH— Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi di Somalia pada Jumaat, sebagai wira Malaysia sebenar “yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan.”

Beliau melahirkan rasa sedih berhubung apa yang berlaku sambil berkata: “Kita telah kehilangan seorang rakyat Malaysia sangat mulia dan benar-benar berdedikasi.”

“Beliau bersedia mengambil risiko untuk memberikan liputan meluas mengenai misi kita membantu orang lain di banyak tempat di dunia,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib (gambar) berkata beliau memendekkan lawatannya ke Perth dan akan pulang ke Kuala Lumpur malam ini bagi membolehkan beliau berada di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang untuk ketibaan jenazah Allahyarham dari Mogadishu esok.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1 Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Jenazah Noramfaizul akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia, Serdang esok.

Naib Presiden Kelab Putera 1 Malaysia Rahman Rahim, yang mewakili keluarga arwah berkata, jenazah akan dikebumikan sebelum zohor, bergantung kepada keadaan.

Beliau berkata sejurus tiba, jenazah akan dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid TUDM sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya.

Rahman memberitahu jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Al-Islah berhampiran rumah ibu bapa Allahyarham untuk disolatkan.

Jenazah dijangka tiba di Pangkalan TUDM kira-kira 9 pagi esok.

“Segala urusan daripada segi pengangkutan disediakan oleh pihak kami (Kelab Putera 1 Malaysia) kepada kaum keluarga Allahyarham, bermula di Subang sehingga disemadikan,” kata Rahman.

Allahyarham meninggalkan isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki iaitu Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.