Halaman

Rabu, 7 September 2011

Persatuan bekas polis gesa lucut kerakyatan Mat Sabu

UTUSAN ONLINE

KULIM – Persatuan Bekas Polis Negeri Kedah (PBPNK) menggesa agar kerakyatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dilucut susulan kenyataannya bahawa pengganas komunis wira sebenar dalam tragedi Bukit Kepong.

Pengerusinya, Sharif Kontan berkata, kenyataan pemimpin Pas yang dikenali sebagai Mat Sabu itu bukan sahaja biadab, tetapi juga melukakan hati lebih 5,000 anggota PBPNK.

"Bukan sahaja bekas polis golongan Melayu sahaja yang merasakannya tetapi kalangan masyarakat India dan Cina juga ikut terasa dan mengecam dakyah palsu Mat Sabu itu,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, semalam.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) cawangan Kulim yang turut membuat laporan sama kelmarin, berkata, kenyataan Mat Sabu bertujuan menghasut rakyat agar menentang kerajaan.

"Kami yakin semangat inilah yang cuba ditimbulkan Timbalan Presiden Pas itu dan kenyataannya itu amat berbahaya kepada keselamatan negara dan sewajarnya tindakan Mat Sabu ini perlu disekat atau pun dikenakan tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) atau seumpamanya,” kata Pengerusinya, Hamid Othman. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.