SHAH ALAM : Mulai tahun depan, setiap pejabat daerah yang berjaya mengutip 90 peratus daripada cukai tanah semasa di kawasan masing-masing akan mendapat ganjaran berjumlah RM200,000 daripada Kerajaan Selangor.
Ganjaran itu juga akan diberi kepada pejabat daerah yang berjaya mencatat jumlah kutipan cukai yang tinggi di Selangor, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Jumlah tersebut adalah peningkatan dari RM100,000 yang diberi sekarang kepada pejabat daerah oleh kerajaan negeri.
"Untuk hasil kita naikan insentif ke RM200,000 setiap enam bulan kita akan umumkan pemenang. Jadi tiap-tiap enam bulan. dia(pejabat daerah) boleh dapat RM100,000 jika dapat capai tahap yang dijanjikan. Ia akan dinilai mengikut jumlah dan peratus kutipan.
"Sekarang hanya diambil kira berapa peratus kutipan. Kalau dia kutip 90 peratus kita bagi tetapi kita juga akan bagi hadiah bagi jumlah terkumpul," Abdul Khalid berkata.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri perhimpunan bulanan kakitangan awam kerajaan negeri dan sambutan Hari Inovasi, di sini baru baru ini.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya memenangi tempat pertama anugerah innovasi Selangor bagi perkhidmatan kaunter bergerak yang dinamakan "EZ Pay".
Kaunter tersebut merupakan sebuah lori yang dilengkapkan dengan peralatan bagi membolehkan pelanggan membuat segala bentuk urusniaga yang biasanya boleh dibuat di kaunter pejabat daerah.
"Lori ini bergerak ke seluruh kawasan Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan boleh buat urusniaga. Saya difahamkan ini adalah antara pertama yang dibuat di Malaysia," katanya.
Menteri Besar juga berkata Jabatan Perbendaharan Selangor juga diikhtiraf mempunyai indeks kebertanggungjawaban yang terbaik antara semua jabatan negeri oleh Jabatan Audit Negara.
Jabatan-jabatan lain yang juga mencapai tahap akauntabiliti yang terbaik termasuk majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaraan Selayang dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.