KOTA BHARU - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akur dengan keputusan mewajibkan ahli Kabinet mengisytiharkan harta.
”Apabila sudah diputuskan kerajaan, maka sudah tentu ia akan menjadi peraturan dan kita akur dengan apa juga peraturan, kita perlu telus dan harus diadakan kaedah,” katanya di Sekolah Kebangsaan Mulong di sini, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Umno Kelantan berkata, semua pihak perlu terlibat termasuk pemimpin pembangkang kerana ia bukan sahaja membina keyakinan rakyat terhadap pemimpin, malah juga kerajaan.
Mustapa mengulas cadangan supaya ahli Kabinet dan ahli keluarga mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan integriti kerajaan.
Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, Malaysia masih menikmati pertumbuhan ekonomi menggalakkan hasil kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) merangka dasar yang boleh menjana pertumbuhan yang baik.
Menurutnya, sehingga kini, ekonomi negara mampu mencatat kadar pertumbuhan sekitar lima peratus dan ia satu pertumbuhan baik berdasarkan dagangan dan pelaburan dunia yang tidak menentu.
”Kejayaan kerajaan menguruskan negara dengan baik memberi pelbagai manfaat kepada rakyat dan ini berbeza dengan negara lain yang menghadapi banyak masalah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.