Mungkin ramai yang beranggapan Izwan Pilus bukan salah seorang Selebriti yang tersenarai antara yang paling popular. Akan tetapi, Izwan Pilus merupakan antara artis yang amat disayangi rakan-rakan dunia seni tanah air.
Pemergian beliau secara mengejut ini memerlukan masa buat kesemua rakan-rakan artis yang menyayangi beliau 'runsing' seketika untuk menerima hakikat takdir Allah.
Sifat sederhana dan suka bergurau merupakan salah satu sebab kesukaran mereka untuk melupakan beliau.
Akan tetapi, tidak ada yang lebih perit dan sedih dengan pemergian Izwan Pilus melainkan keluarga beliau terutamanya Aril AF 7. Aril yang nampak tenang setelah selesai pengebumian Allahyarham abang beliau itu menceritakan beberapa pesanannya terhadap beliau.
"Sudah tiga tahun saya tinggal bersama arwah abang saya di Ampang sejak mula menceburi bidang seni dan sudah tentu rindu dengan gurau senda arwah. Saya juga terkilan kerana tidak sempat merakamkan duet bersamanya walaupun perancangan itu ada," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Aril juga tidak terfikir leteran abang beliau baru-baru ini merupakan 'isyarat' terakhir beliau bakal pergi buat selama-lamanya.
"Saya tak sangka abang (Izwan) pergi secepat ini. Masih terngiang-ngiang di telinga saya apabila dia memberi kata-kata akhir yang dia sayangkan saya dan meminta saya untuk menjaga mak dan ayah."
"Malah tiga minggu sebelum meninggal, dia ada memarahi saya kerana tidak tahu melipat baju. Katanya dia, Kau ni bila nak pandai lipat baju’? Nak tunggu aku mati ke baru nak belajar?." Aril kelihatan sebak mengingatkan kisah tersebut.
Izwan Pilus yang mula bergiat aktif dalam industri Muzik tanah air menerusi Bintang RTM 2004 meninggal dunia di Hospital Ampang, dekat sini kira-kira pukul 6.15 petang Jumaat, akibat terkena jangkitan kuman dalam darah dan virus kencing tikus yang serius.
Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Palembang Nyalas Kampung Gubah, Jasin kira-kira jam 11 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan