| Harakahdaily, | |
KUANTAN: Selain memuji penjelasan pantas Pengerusi MUIP, PAS Pahang hari ini menyarankan agar kerajaan negeri membatalkan hasrat untuk membeli hotel MS Garden di Kuantan walaupun tanpa menggunakan wang zakat.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, rata-rata rakyat Pahang tidak bersetuju dengan tindakan MUIP untuk membeli hotel, walaupun tidak menggunakan wang zakat.
Semalam, Ketua Pemuda PAS, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mendakwa beliau menerima maklumat daripada pihak-pihak yang rapat dengan MUIP bahawa mereka berhasrat membeli hotel MS Garden dengan menggunakan wang zakat.
Ekoran itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Yang Di-pertua MUIP hari ini bertitah urusan pengambilalihan hotel itu oleh MUIP akan dibuat menerusi pinjaman, tetapi sama ada akan menggunakan wang zakat bagi urusan itu belum dimuktamadkan.
"Bagi saya masa untuk selesaikan hal kewangan ini dahulu dan kita akan pastikan cuba tidak gunakan wang zakat," titahnya yang dipetik Sinar Harian.
Dalam reaksinya kepada Harakahdaily, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam keadaan masih ramai umat Islam berada ditahap kemiskinan tegar, institusi agama yang masih ketinggalan.
Katanya, sebahagian besar rakyat Pahang sangat mengharapkan isu-isu utama dapat diselesaikan terlebih dahulu.
Tuan Ibrahim, yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata kegagalan kerajaan negeri Pahang untuk memastikan seluruh institusi agama berjalan dengan sempurna telah menyebabkan banyak urusan pentadbiran masih berhadapan dengan pelbagai kepincangan.
Antara kepincangan yang dimaksudkan beliau ialah seperti kegagalan melantik hakim Mahkamah Tinggi Syariah, hakim Mahkamah Rayuan Syariah, pendakwaraya, Pengetua Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan dan puluhan kekosongan naib Qadhi dan wali hakim.
“Kesemua ini telah membawa kesusahan kepada masyarakat Islam di Pahang,” tegas beliau, sambil bertanya apakah objektif sebenar untuk kerajaan Pahang membeli hotel yang terletak di tengah kota ibu negeri Pahang.
“Jika keutamaannya adalah untuk meninggikan imej MUIP, bukankah lebih baik selesaikan ratusan kes syariah seperti perceraian, tuntutan harta dan lain yang masih tertunggak akibat kekurangan pegawai daripada membeli hotel?” tambah beliau.
Tuan Ibrahim juga berhujah bahawa ketika ini, rakyat Pahang masih menunggu tindakan kerajaan negeri untuk melaksanakan hasrat KDYMM Sultan Pahang bagi mewujudkan sekolah agama Bestari di Pahang.
Bahkan, katanya, rakyat Pahang sedang tertunggu-tunggu usaha kerajaan negeri untuk mengatasi pelbagai kekurangan kemudahan di sekolah-sekolah agama yang tidak lagi kelihatan, daripada pengumuman untuk membeli hotel mewah.
Tambahnya lagi, rata-rata rakyat berharap kerajaan negeri Pahang dapat mengunakan puluhan juta wang zakat yang terkumpul kini bagi meninggikan syiar Islam terutamanya bagi memajukan bidang pendidikan.
“Alangkah baiknya kalau setiap sekolah agama diperuntukan RM200,000 bagi membaikpulih kerosakan dan penyediaan kemudahan pendidikan, bantuan pendidikan kepada para pelajar miskin serta menigkatkan bayaran bantuan kepada pelajar agama di Timur Tengah kerana Pahang antara yang paling sedikit bantuan berbanding negeri-negeri lain,” katanya.
Selari dengan tuntutan dan hasrat rakyat, PAS Pahang menyarankan kerajaan negeri Pahang khususnya MUIP untuk membatalkan hasrat membeli hotel mewah sebanyak RM50 juta itu.
“Dana tersebut sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat kepada rakyat Pahang dan Islam,” tegas beliau.
1 ulasan:
Setahu aku, hotel Klang Mutiara sebelah Mydin Klang tu dimiliki oleh Majlis Agama Islam Selangor! Dulu, pada tahun 1998 aku ada menginap kat Hotel tu dan nampak ada signboard kat dalam hotel tu yang tertera 'DIMILIKI OLEH MAIS'!! Kemusykilannya ialah penyambut tetamu wanitanya tak bertudung, dalam hotel ada kolam renang yang kebanyakan perenang tidak menutup aurat!!! ketika bersiar-siar kat tepi kolam tu aku terpandang satu couple sedang projek baik punye dalam bilik bersebelahan melalui jendela yang terbuka langsirnya!!!! Sejak tu aku tak pergi dah hotel ni. Sekarang aku tak pasti hotel ni masih dimiliki oleh MAIS, ADA SESIAPA BOLEH CONFIRMKAN!!!!!
Catat Ulasan