Keputusan pilih Salahuddin bagai 'menempah maut'JOHOR BAHRU – Pakatan Rakyat (PR) usah terbuaibuai dengan keyakinan bahawa mereka bakal membentuk sebuah kerajaan meskipun membuat keputusan untuk meletakkan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di negeri ini.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, memang sudah tiba masanya anak Johor (Salahuddin) bertanding di negeri ini yang merupakan negeri kelahirannya.
Menurutnya, Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan kedatangan beliau ke negeri ini kerana ia menjadi ujian kepada kubu kuat BN.
“Beliau diuar-uarkan menjadi calon Menteri Besar Johor oleh PR. Kita tengok siapa yang lebih berpengaruh.
PR belum tentu boleh menang,” katanya kepada Sinar Harian semasa Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) Parlimen Pulai di sini, semalam.
Pada majlis berkenaan seramai lebih 600 penerima sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Kempas menerima bantuan terbabit yang mana pemberian kelima bagi fasa pertama untuk kawasan Parlimen Pulai.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng dan Pengerusi Jawatankuasa Penyerahan BR1M Parlimen Pulai, Ramlee Bohani.
Sementara itu, Adun Kempas, Datuk Osman Sapian menyifatkan keputusan sedemikian seolah-olah menempah ‘maut’.
“Keputusan ini dibuat seolah-olah mereka menempah maut sahaja. Selama ini kita yang buat kerja. Dia datang sekadar untuk bertanding sahaja. Rakyat sendiri boleh membuka mata dan mengukur sendiri siapa yang membuat kerja.
“Siapa dahulu yang bantu orang miskin, tingkatkan infrastruktur.
Minta maaf ya, siapa yang mengundi Pas adalah orang yang buta hati. Rakyat pun semakin bijak untuk menilai.
“Saya dengar pun antara Pas dan PR sendiri masih ada rebut-rebut kerusi. Mereka juga tiada kesepakatan. Saya sendiri akan ‘all out’ kalau Salahuddin mahu bertanding di Johor,” katanya.
Salahuddin: Kubu kuat Johor akan runtuh
SKUDAI – Pakatan Rakyat (PR) berkeyakinan dapat menakluki Johor sekali gus memadamkan stigma bahawa negeri itu kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan Umno.
Keyakinan tersebut disuarakan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang diuar-uarkan akan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Salahuddin berkata, persoalan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Johor jika PR berjaya menakluki negeri ini bukan menjadi matlamat utama mereka.
“Soal siapa jadi Menteri Besar, itu perkara tidak berapa penting. Tetapi apa yang menjadi keutamaan ialah memastikan PR menang di Johor pada PRU13.
“Saya lihat politik perkauman tidak ada tempat dalam negara mahupun di Johor ini. BN tidak boleh berbangga Johor akan menjadi kubu kuat mereka kerana kita akan meruntuhkan kubu kuat ini,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PKR Johor, di sini, semalam.
Dalam kenyataannya sebelum ini, Salahuddin juga menegaskan hanya akan memberi kepastian sama ada dirinya bertanding di Johor, akhir bulan ini.
Sementara itu, desas-desus untuk meletakkan Salahuddin sebagai Menteri Besar Johor semakin kuat apabila pemilihan beliau mendapat lampu hijau PKR Negeri.
Pengerusinya, Datuk Chua Jui Meng mengakui tindakan Pas membawa balik Salahuddin untuk bertanding di negeri ini memberi peluang besar dalam usaha PR menakluki Johor.
“Dia (Salahuddin) berasal dari Tanjung Piai dan dia seharusnya balik ke Johor. Beliau akan membantu mengetuai Pas dalam PRU13 dan PKR Negeri mengalu-alukan kepulangannya ke sini.
“Kita belum bincang siapa menjadi Menteri Besar, biar kita menang dulu baru boleh bercakap mengenai siapa jadi Menteri Besar. Saya percaya kehadiran beliau bertanding di negeri ini menyumbang kepada kemenangan PR di negeri ini.
“Beliau merupakan calon yang progresif Pas dan diterima semua kaum. Beliau adalah calon muka baru bagi Johor dan akan membantu PR menang di sini," katanya.
Turut hadir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Ong Kaw Meng bersama hampir seribu orang awam yang turut serta ke majlis rumah terbuka yang diadakan dari jam 11 pagi hingga 2 petang itu.
Dalam pada itu, Jui Meng juga tidak menolak kemungkinan PKR akan mengikut jejak langkah Pas untuk menurunkan calon dari Pusat bagi bertanding di kerusi di negeri ini.
Ahli Parlimen Pulai itu tidak perlu angkuh dan takbur.
Beliau perlu ingat satu ketika tiada siapa menduga bahawa Kedah, P.Pinang, Perak dan Selangor akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan tiada siapa juga menduga bahawa PAS akan memeprolehi kemenangan di dua kerusi DUN di Johor pada PRU12 yang lalu.
Tetapi begitulah kehendak Ilahi. UMNO BN tidak perlu mendabik dada dan menunjukkan keangkuhan bodoh mereka untuk mengatasi kudrat dan iradat Allah s.w.t.
Ahli-ahli Pakatan Rakyat Johor khususnya ahli-ahli PAS akan melipatgandakan usaha disamping akan terus bermunajat kepada Allah s.w.t. supaya segala keangkuhan dan ketakburan UMNO BN Johor itu ditamatkan segera.
GB akan bersama-sama rakyat Johor mendoakan kemenangan cemerlang bagi Pakatan Rakyat di negeri tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.