Halaman

Khamis, 9 Februari 2012

Guan Eng: Tubuh Suruhanjaya DiRaja Siasat Kerugian RM3.4b Proton

Oleh Mohd Ezli Mashut


SHAH ALAM : Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat dakwaan Tun Dr Mahathir terhadap kerugian RM3.4 bilion yang dialami Proton disebabkan oleh pengurusan yang lemah, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Menurut Lim, akhbar New Straits Times melaporkan kenyataan Dr Mahathir bahawa Proton Holdings telah kehilangan sejumlah besar simpanan tunainya bernilai RM4 Bilion kepada RM600 juta untuk menampung kerugian syarikat.

"Menurut Dr Mahathir, pembuat kereta nasional, Proton telah mengumpul RM4 Bilion sepanjang tempoh khidmat Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff sebagai CEO, tetapi jumlah tersebut telah menyusut ke paras RM600 juta sewaktu perkhidmatan penggantinya Datuk Mohammed Azlan Hashim," kata Lim dalam kenyataan medianya.

Lim menjelaskan bahawa Dr Mahathir berkata bahawa kerugian yang dialami juga disebabkan oleh penjualan MV Augusta kepada sebuah syarikat yang tidak dikenali bernama Gevi SpA pada tahun 2006 dengan harga 1 Euro, sungguhpun Proton telah membelanjakan lebih RM300 juta untuk pegangan sebanyak 57 peratus.

Berikutan penjualan MV Augusta oleh Proton, BMW telah membayar 93 juta Euro atau RM446 juta pada waktu yang sama untuk pegangan satu pertiga dari MV Augusta. Harley Davidson pula membeli baki pegangan MV Augusta untuk USD109 juta atau RM360 juta pada waktu itu.

Dalam kata lain, syarikat yang dijual oleh Proton pada harga 1 Euro atau RM4.80, telah dijual semula kepada BMW dan Harley Davidson pada harga RM800 juta.

"Oleh yang demikian DAP menyeru supaya satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja dibentuk untuk menyiasat salah-urus Proton dan kerugian berbilion ringgit yang dialami sepanjang waktu ini, terutamanya kerugian berjumlah RM3.4 bilion dalam bentuk simpanan tunai. Ini adalah satu perkara serius, memandangkan Proton adalah pembuat kereta nasional," katanya.

Menurut Lim, siasatan haruslah menentukan sama ada kerajaan boleh mengurangkan kerugian dengan menggulung syarikat Proton secepat mungkin, atau mengambil risiko kerugian yang lebih besar seperti yang terjadi dalam perjanjian MV Augusta. Ini adalah satu keputusan yang sangat penting yang mesti dikaji dalam siasatan tersebut kerana rakyat Malaysia pastinya tidak mahu Proton terus kerugian.

Siasatan juga mesti melihat sama ada Khazanah Nasional, badan pelaburan kerajaan Malaysia, mendapat harga yang baik apabila ia menjual pegangan 42.7 peratus dalam Proton kepada DRB-Hicom Bhd. Khazanah telah menjual pegangannya pada harga RM1.3 bilion atau RM5.50 satu saham, iaitu separuh daripada nilai ‘book value' Proton iaitu RM9.81 satu saham dan juga nilai asal yang dibayarnya iairu RM8 satu saham.

"Salah seorang individu yang bertanggungjawab membina simpanan tunai Proton sehingga berjumlah RM4 Bilion ialah Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff. Oleh yang demikian, kami mencadangkan supaya Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff menjadi salah seorang ahli panel siasatan memandangkan beliau lebih memahami isu tersebut," tegas Lim.

Justeru Lim mencadangkan, siasatan itu akhirnya mestilah langkah-langkah yang perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab untuk kerugian yang begitu besar, dan langkah-langkah untuk membendung kerugian pada masa akan datang, terutamanya apabila membabitkan dana awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.