HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Februari 2012

Jakim kaji kaedah beri dana KAFA

MALAYSIA KINI

Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji kaedah pemberian dana latihan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta imam di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata langkah itu bagi memastikan dana tersebut dapat memenuhi matlamat membantu golongan sasar.

Tanpa menyebut kos pembiayaan kerajaan, beliau berkata bantuan itu membabitkan 34,000 guru Kafa dan 14,000 imam di seluruh negara.

"Kita sedang mengkaji kaedah pemberian bantuan kerajaan menerusi dana itu, sama ada akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri atau diagihkan secara berpusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, di Kota Baharu malam tadi.

Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan cek bernilai RM3.8 juta kepada Naib Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Datuk Kamaruddin Mat Zain sebagai bantuan elaun imam di negeri ini.

Beliau berkata pemberian kerajaan menerusi dana khas itu bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan guru Kafa dan imam kepada masyarakat melalui latihan yang diberikan selain menambah elaun kakitangan terbabit.

"Ini dapat dilaksanakan menerusi modul-modul latihan yang diberikan melalui Institut Latihan Ilmu Islam Malaysia (ILIM) di bawah Jakim," katanya. Bernama

Tiada ulasan: