KUALA LUMPUR — Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar tidak mencari “publisiti” dengan mencabar pihak yang mendakwa umat Islam di negara ini murtad mendedahkan maklumat itu.
Tegas Mufti Perak ini, sebagai tokoh agama Asri tidak sepatutnya membuat cabaran itu sebaliknya mencari jalan penyelesaian untuk membendung gejala murtad.
“Mengapa perlu cabar? Usah cari publisiti, isu murtad ini bukan perkara kecil...ini isu serius, kita patut cari jalan untuk bendung perkara ini daripada berterusan bukan cabar-mencabar.
“Kita jangan salahkan orang lain apabila ramai umat Islam murtad, kita jangan tuduh orang lain...kalau orang itu tidak betul jangan ikut, sebab itu kita perlu cari jalan bendung perkara ini bukan kata yang bukan-bukan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Harussani (gambar) berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Asri kelmarin yang mencabar pihak yang mendakwa ribuan umat Islam di negara ini murtad untuk mendedahkan 300 nama serta alamat individu tersebut agar dapat diselamatkan.
Asri berkata isu murtad yang digembar-gemburkan itu hanya akan mengundang kegelisahan dalam kalangan umat Islam negara ini.
“Kita tidak nafikan, ada usaha pihak lain untuk berkempen agar umat Islam tertarik dengan agama mereka, namun, tindakan mereka yang mengendalikan isu ini sehingga menyatakan puluhan dan ratusan ribu orang Islam murtad adalah berbahaya.
“Jadi, saya cabar mereka yang melaungkan ratusan ribu umat Islam murtad ini memberikan 300 nama dan alamat (orang murtad) supaya kita boleh cari untuk pastikan ia benar atau sekadar retorik untuk alih perhatian dalam politik,” katanya.
Tambah Harussani, tindakan Asri itu seolah-olah akur dan tunduk kepada kegiatan murtad yang semakin meruncing.
Jelas beliau, umat Islam terutamanya pemimpin agama perlu berusaha untuk membendung kegiatan itu sebelum lebih ramai yang murtad.
“Kita bimbang jika tidak diatasi lebih ramai yang akan murtad terutamanya anak-anak muda kita.
“Jadi jangan nak cari publisiti dengan cabar-mencabar, saya sudah bangkitkan perkara ini sudah lama...malah saya juga ada bukti tentang kegiatan murtad ini. Jadi jangan timbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam lagi,” katanya.
Tambah Harussani, banyak cara yang boleh digunakan untuk menyelamatkan umat Islam yang sudah murtad termasuk melalui sesi kaunseling.
“Murtad adalah perbuatan yang merosakkan masyarakat Islam, saya harap perkara ini dapat dibendung.
“...saya juga harap umat Islam tidak akan mudah terpedaya dengan usaha-usaha pihak yang mahu menyesatkan kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan