Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Kelantan memperkasakan lagi konsep Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan sejak 21 tahun lalu dengan memperkenalkan pula dasar Keluarga Mawaddah.
Buku Panduan Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan yang digubal sejak 2009, mengambil kira pelbagai pandangan dan akan dilancarkan pada 9 Febuari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, buku panduan itu sebagai ‘check list’ bagi setiap keluarga.
Katanya, kalau sebelum ini kita hanya bercakap mahu melahirkan keluarga mawaddah, namun tidak ada buku panduan mengenainya.
“Buku panduan khas yang ditunggu-gunggu masyarakat akhirnya berjaya diterbitkan. Buku berkenaan digubal sebagai usaha memperkasakan institusi keluarga selaras tuntutan Islam.
“Setiap keluarga dapat mengenal pasti sendiri tahap pencapaian keluarga mereka sama ada memenuhi ciri keluarga mawaddah atau sebaliknya,” katanya di sini.
Isi kandung buku itu meliputi mengenai solat, batasan aurat, amalan beragama dalam sesebuah keluarga, budaya membaca al-Quran dan berbagai lagi.
Pelancaran buku berkenaan diadakan sempena Sambutan Hari Suami Isteri yang akan disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balai Islam Lundang, bermula jam 8.30 pagi.
Wan Ubaidah berkata, sambutan Hari Suami Isteri akan diisi slot motivasi ‘Membina Cinta Hingga Ke Syurga akan disampaikan bekas personaliti TV9, Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin.
Selain itu diselit persembahan zikir oleh Kumpulan Ar-Rasy dan Megat Haiqal. Cabutan bertuah dan sesi soal jawab turut diadakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan