Halaman

Khamis, 2 Februari 2012

KITA akan bubar, kembali ke pangkal jalan

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Parti KITA pimpinan Datuk Zaid Ibrahim akan dibubarkan tidak lama lagi melalui satu mesyuarat agung luar biasa.

Keputusan ini perlu dibuat untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa parti itu tidak memihak kepada pembangkang, terutama dengan beberapa anggota-anggota kami di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka yang mengkritik Pakatan Rakyat.

"Mereka telah melakukan perbuatan ini secara berterusan," kata satu kenyataan yang dibuat melalui laman web partikita.com hari ini.

Kenyataan itu dipercayai dibuat oleh Datuk Zaid sendiri namun tidak ada sebarang nama diletak pada kenyataan itu.

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) ialah parti politik yang dahulunya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

KITA ditubuh secara rasmi dibawah pimpinan Datuk Zaid pada 15 Disember 2010 apabila beliau dilantik sebagai presiden baru parti ini dalam sebuah mesyuarat agung.

KITA dilancarkan secara rasminya pada 19 Januari 2011 oleh Datuk Zaid di Kuala Lumpur.

(Gambar fail: Datuk Zaid ketika melancarkan parti KITA dengan penuh gilang gemilang di Kuala Lumpur)

Kenyataan yang dikeluarkan hari ini memetik, peribahasa Melayu ada menyebut, “jika sesat di penghujung jalan, kembalilah ka pangkal jalan”.

"Saya sedar sekarang bahawa penubuhan KITA adalah satu kesilapan. Saya berhasrat untuk memberi idea-idea alternatif dalam politik dan membawa kepelbagaian bakat yang lebih luas kepada kepimpinan pembangkang," katanya.

Menurut kenyataan itu, idea beliau untuk menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.

"Saya tidak berjaya membawa masuk anggota-anggota yang cukup berminat dalam cita-cita bagi mencapai demokrasi, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti di kalangan pegawai-pegawai awam.

"Saya juga tidak dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk menguruskan aktiviti-aktiviti parti, dan teman-teman yang telah berjanji untuk membantu telah akhirnya memutuskan untuk menarik balik," katanya.

Kecenderungan media yang mendalam dalam melaporkan isu-isu remeh yang memberi kesan kepada parti akan terus memberi kesukaran kepada kami, katanya.

"Cukup ramai orang di luar sana yang hanya berminat dalam mengkritik kepimpinan saya di dalam KITA, dan yang menggemburkan cerita-cerita dengan tujuan untuk mencemuh saya," katanya lagi.

"Saya telah membuat banyak kesilapan dalam hidup saya tetapi saya tidak tawar hati. Saya tetap yakin bahawa perubahan akan datang untuk kebaikan negara ini dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya di dalam mencapai tujuan itu," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, dia tidak akan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mempercayai bahawa kenikmatan dalam memberi perkhidmatan kepada awam, dan boleh menjalankan perkhidmatan ini dengan kehormatan dan maruah.

"Kepada anggota-anggota parti yang setia yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini, saya memohon ampun.

"Saya menghargai sokongan mereka dan saya berharap mereka akan menerima keputusan ini, kerana ia adalah untuk kebaikan yang lebih besar kepada pihak pembangkang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.