KUALA LUMPUR — Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Sri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata cadangan pelaksanaan Skim 1 Care yang mencetuskan kontroversi akan membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang sama tanpa mengira pusat kesihatan kerajaan mahupun swasta.
Namun begitu, beliau tidak memberikan maklumat jelas berkenaan perkara itu, dan tidak menyatakan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada pusat kesihatan swasta di bawah sistem kesihatan dua hala sekarang.
Beliau hanya menjelaskan KKM mempunyai tempoh dua tahun bagi mengemukakan blueprint dan pada masa ini, perbincangan bersama-sama 11 kumpulan teknikal sedang dibuat berkenaan blueprint tersebut, serta menegaskan cadangan berkenaan masih lagi berada di peringkat perbincangan.
Di bawah skim kerajaan-swasta sedia ada, rakyat Malaysia diberikan pilihan untuk mendapatkan rawatan sama ada di pusat kesihatan kerajaan mahupun klinik ataupun hospital swasta.
Kebanyakan syarikat sudah membiayai kos pekerja dan keluarga mereka, untuk mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan swasta.
Dalam sesetengah kes, kerajaan juga turut membiayai kakitangan mereka bagi mendapatkan rawatan di pusat kesihatan swasta.
Namun Dr Hasan (gambar) menjelaskan dalam rancangan “Dialog” di RTM1 malam tadi, “langkah baiknya tanpa mengira perkhidmatan kerajaan mahupun swasta, rakyat mampu mendapatkan penjagaan kesihatan yang lebih baik, akses yang lebih mudah dengan kadar responsif yang tinggi”.
Beliau turut memberikan respon terhadap kritikan-kritikan yan diterima KKM berhubung cadangan pelaksanaan Skim 1 Care yang telah menimbulkan kekecohan daripada pengamal perubatan swasta dan orang ramai setelah butiran lengkap berkenaan skim tersebut disiarkan di media online sejak beberapa minggu lalu.
Pengamal perubatan awam dan swasta tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan mendakwa individu dan golongan peniaga akan dipaksa membayar 10 peratus daripada pendapatan kepada skim berkenaan.
Berdasarkan cadangan itu juga, setiap orang akan hanya diberikan satu doktor di kawasan mereka dan tidak dibenarkan untuk memilih. Individu juga turut akan dihadkan jumlah untuk rawatan dalam sebulan.
Pengarah Kesihatan itu turut berkata Malaysia mempunyai 600 klinik swasta, dan 813 klinik kerajaan, dengan 60 peratus pesakit memilih perkhidmatan klinik kerajaan.
Bagi hospital, negara mempunyai 231 hospital swasta, manakala hospital kerajaan berjumlah 141.
Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, cadangan berkenaan kumpulan perniagaan akan dikenakan levi 10 peratus daripada pendapatan mereka untuk dana insuran penjagaan kesihatan 1 Care akan di semak semula.
Kementerian Kesihatan turut mengadakan taklimat bersama ahli farmasi berkenaan pelan tersebut yang dilihat untuk memperbaiki sistem kesihatan sedia ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.