ANTARA POS.COM
PULAU PINANG : Kaum Melayu di negara ini memandang remeh terhadap pentingnya untuk mendaftar sebagai pengundi walaupun layak berbuat demikian.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh SPR, pihaknya mendapati daripada jumlah 3.7 juta rakyat di negara ini yang layak mengundi, orang Melayu memandang remeh perkara itu dengan memberikan pelbagai alasan.
"Ada yang memberi alasan bahawa mereka terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga tiada masa untuk mendaftar. Malah ada yang mengatakan tidak ada perubahan besar akan berlaku dengan hanya satu undi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat persediaan Pilihan Raya Umum Ke-13 kepada pegawai pengurus pilihan raya negeri di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar.
Sehubungan itu, Abdul Aziz menasihatkan golongan tersebut supaya segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menunaikan hak dan tanggungjawab pada pilihan raya umum nanti.
Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, hanya 50 responden memberikan maklum malas daripada 42,057 orang yang disenaraikan sebagai pengundi meragukan.
Menurutnya, daripada 50 responden yang memberikan maklum balas, hanya 26 yang masih aktif manakala 24 lagi tidak dapat dipastikan status mereka.
Oleh itu, katanya, seramai 42,031 nama lagi akan digugurkan daripada senarai pemilih selepas tarikh semakan berakhir hari ini.
Sementara itu Abdul Aziz menjelaskan, cadangan untuk mengadakan proses pengundian awal bagi pengundi di luar negara tidak dapat dilakukan dan akan kekal dengan kaedah sedia ada iaitu undi pos.
"SPR ada meminta kerjasama Wisma Putra untuk melaksanakannya, namun mereka tidak dapat melakukannya kerana pelbagai faktor. Antaranya jumlah pengundi yang ramai selain kedudukan mereka yang berselerak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan