Rakyat sering di dera dengan putus bekalan minyak sawit di pasaran tempatan tetapi pada masa sama negara terus membekalkan minyak sawit lebih dari keperluan Israel.
PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendedahkan sikap hipokrit kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dengan menunjukkan dokumen hubungan dagangan dua hala yang wujud di antara Malaysia dan Israel.
Dalam sidang media di Pulau Pinang semalam, SAMM menunjukkan kepada wartawan dokumen yang mengaitkan penghantaran minyak sawit dari Malaysia ke Israel.
“Terbaru SAMM telah menemui beberapa dokumen membuktikan bahawa wujud hubungan dagang lain secara terus dan melibatkan syarikat Malaysia,” jelas Pengasas SAMM Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan media.
Beliau yang juga dikenali sebagai Chegu Bard berkata, dua dokumen ‘Booking Conformation’ melibatkan dua syarikat yang berpangkalan di Johor menghantar minyak sawit dari Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas terus ke Ashdod, pelabuhan terbesar Israel yang terletak 40 km dari Tel Aviv.
“Melalui carian di laman rasmi salah sebuah syarikat tersebut ada kaitan dengan Felda. Persoalannya adakah minyak sawit hasil peneroka Felda turut dihantar ke Israel?,” soalnya.
Menurut beliau, hasil dari dokumen yang berjaya di akses menunjukkan tidak kurang dari 100 metrik tan Malaysia membekalkan minyak sawit ke Israel.
Katanya, SAMM yakin jumlahnya lebih dari itu kerana terdapat banyak penghantaran tetapi sehingga kini SAMM cuma mempunyai dokumen membuktikan dua penghantaran dan menurut sumber ada lebih dari dua penghantaran setiap bulan.
Ujar beliau, rakyat sering di dera dengan putus bekalan minyak sawit di pasaran tempatan tetapi pada masa yang sama negara terus membekalkan minyak sawit lebih dari keperluan Israel.
“Jumlah penghantaran yang banyak ini bukan sahaja cukup untuk kegunaan domestik Israel, tetapi menyebabkan Israel mampu memasarkan semula minyak sawit.
“Malah sudah ada usaha Israel menyimpan stok minyak sawit dan jika ini tidak dikawal maka Israel pasti mampu menjadi antara pemain utama pasaran hadapan sawit dan ekonomi negara pasti terancam apabila Israel boleh mengawal harga,” terangnya.
M’sia aktif bantu ekonomi Israel
“Utusan Malaysia sebelum ini sudah melaporkan bagaimana kapal mengibarkan bendera Israel disambut di Pelabuhan Klang.
“Kali ini bukan sekadar kapal tetapi ada bukti kehadiran pihak berkuasa Israel sendiri di dalam negara bagi memastikan kualiti dan keselamatan minyak sawit untuk dihantar ke Israel,” jelasnya.
Lebih memeranjatkan katanya, terdapat bukti bergambar yang membuktikan ‘pihak kerajaan’ Israel juga hadir di kawasan pelabuhan
Malaysia untuk memastikan ‘keselamatan’ dan ‘kebersihan’ minyak sawit yang dihantar.
“Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan Malaysia diwajahkan langsung tidak punya hubungan dengan Israel? Ternyata regim ini bersikap munafik!,” tegas beliau.
Chegu Bard memberitahu mengikut laporan Kesatuan Eropah, Malaysia merupakan negara ke 15 aktif membantu ekonomi Israel.
“Sepucuk surat rasmi akan dihantar kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk meminta penjelasan mengenai perkara ini,” katanya.
Isu hubungan Malaysia – Israel ini kembali menjadi perhatian apabila media milik Umno dan para pemimpinnya sedang giat menggunakan petikan kata-kata Datuk Seri Anwar Ibrahim di Wall Street Journal (WSJ) yang berbunyi “I support all efforts to protect the security of the state of Israel” untuk melakukan serangan bertubi kepada beliau sebagai penyokong zionis.
Ketua Umum PKR itu turut mengeluarkan satu kenyataan mengecam pihak-pihak yang memutarkan kenyataannya dan menjelaskan bahawa beliau ada menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi ketika ditemubual oleh WSJ pada 26 Januari lalu.
“Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati,” kata beliau, sambil menegaskan bahawa pendirian beliau selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.