| Muhammad Faizal, | |
PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini menjelaskan pihaknya bersedia untuk berhadapan dengan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di mahkamah berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC).
Jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, pertembungan di mahkamah merupakan satu medan terbaik untuk beliau membuat lebih banyak pendedahan berhubung skandal NFC.
"Kami mengesahkan bahawa kertas saman yang dikemukakan oleh Ketua Wanita Umno terhadap kami telah pun diterima.
"Kami yakin saman tersebut tidak ada asas dan bersedia untuk bertemu di mahkamah pada bila-bila masa," jelasnya.
Tambahnya lagi, kesempatan bersemuka di mahkamah dengan Shahrizat dan NFC itu akan digunakan sepenuhnya untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai penyelewengan NFC termasuk dokumen-dokumen rasmi yang boleh membantu memberikan gambaran sebenar bentuk urusan dan penyelewengan.
"Kami bersedia untuk memanggil saksi-saksi penting yang bertanggungjawab membuat keputusan bersabit NFC di semua peringkat kerajaan dan pihak-pihak lain bagi membantu merungkai skandal besar negara ini.
"Kami mengalu-alukan saman yang dikemukakan oleh Shahrizat ini kerana ia memberi peluang untuk mendapatkan maklumat-maklumat penting yang kini tersembunyi dari pengetahuan rakyat," sambungnya.
Ahli Parlimen Ampang itu turut memberitahu bahawa barisan peguam yang akan mengendalikan kes saman tersebut terdiri daripada Ranjit Singh, Sivarasa Rasiah, N.Surendran dan Gopal Sreenevasan.
Selain beliau, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli juga turut disaman oleh Ketua Wanita Umno itu berhubung dakwaan fitnah mengenai skandal NFC.
Shahrizat pada 19 Januari lepas telah memfailkan saman fitnah sebanyak RM100 juta kerana mendakwa beliau terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan untuk projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.