PAHANG DAILY
KUANTAN - MCA Pahang meminta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengambil kira pandangan dan cadangan orang ramai berkaitan pendedahan dokumen Lynas Malaysia Sdn. Bhd. pada awal Januari lalu. Pengerusinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai (foto) berkata, AELB perlu mengemukakan maklum balas berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat bagi membuktikan ketelusan syarikat yang menjalankan pemprosesan nadir bumi di kawasan Perindustrian Gebeng di sini.
"Kita mahu tahu apa tindakan yang bakal diambil selepas AELB terima pandangan dan cadangan daripada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco MCA Pahang di pejabat MCA Bahagian Kuantan, baru-baru ini.
Tiong Lai berkata, MCA Pahang berpendirian tegas terhadap keprihatinan dan penjagaan isu kesihatan dan keselamatan berkaitan projek Lynas. Tambahnya, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Komuniti dengan kerjasama Persatuan Cina Kuantan untuk memantau perkembangan semasa tentang projek itu. "Jawatankuasa ini juga akan pastikan setiap keraguan terhadap projek Lynas akan diperjelaskan," katanya.
Menurutnya, agensi itu juga seharusnya memberikan penerangan menyeluruh tentang lima syarat yang dikenakan terhadap Lynas supaya orang awam memahami serta tiada pertikaian tentang perkara itu.
"Sebelum ini, mereka sedia maklum tentang lima syarat itu. Pun begitu, ia perlu diperjelaskan secara mendalam supaya orang ramai puas hati tentangnya. "Justeru itu, MCA Pahang desak pihak berkuasa termasuk AELB pantau secara teliti projek itu bagi pastikan mereka ikut syarat yang telah ditetapkan," katanya.
[Perkembangan terbaru ini nampaknya pasti membuatkan UMNO Pahang melenting. Tambahan pula selama ini mereka memang menuduh isu Lynas dimainkan oleh orang Cina kerana kecewa tidak mendapat kontrak dengan projek kilang memproses rare-earth itu.Malah, banyak demontrasi bantahan dilakukan oleh masyarakat kaum Cina sebenarnya. Namun, dakwaan pemimpin UMNO terhadap kaum Cina ini pasti akan memakan diri pada PRU-13 ini nanti. Difahamkan, majoriti penyokong MCA BN sendiri kini sudah tidak yakin kepada parti untuk membela nasib mereka yang akan berhadapan dengan risiko radioaktif Lynas.
MCA nampaknya cuba untuk membuktikan mereka ingin membela, namun apakah ia boleh diterima oleh UMNO dan Kerajaan Negeri Pahang sendiri agaknya. Kita menghormati tindakan MCA yang cuba untuk bersikap pro-rakyat ini. Namun, jangan dek kerana mahu memancing kembali undi masyarakat kaum Cina pada Pilihanraya Umum akan datang hendaknya. Jujurlah membela rakyat kerana mereka takut berhadapan dengan risiko tersebut].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan