Halaman

Isnin, 13 Februari 2012

PAS berhak ajak kepada kebaikan, banteras maksiat

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Hak untuk mengajak rakyat Malaysia ke arah kebaikan dan membanteras maksiat dan keburukan adalah merupakan hak demokrasi PAS.

Demikian ditegaskan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Khairuddin Razali (gambar) ketika mengulas ada pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan usaha PAS untuk menghalang Sambutan Hari Kekasih di kalangan umat Islam di negara ini.

“Sambutan Hari Kekasih bercanggah dengan Islam, sebagai seorang Islam mereka perlu terikat dengan hukum hakam beragama sebagai menggambarkan disiplin beragama,” jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, untuk orang bukan Islam, mereka bebas mengamalkan apa yang mereka percayai di dalam kerangka yang dibenarkan.

“Dalam konteks Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, pihak media perlu mempunyai tanggungjawab untuk menyedarkan orang Islam tentang haram sambutan Hari Kekasih.

“PAS sebagai sebuah parti Islam yang mendukung prinsip demokrasi, insya Allah akan terus dan konsisten untuk menegur masyarakat Islam yang menjadi teras majoriti rakyat Malaysia dari melakukan perkara yang bercanggah dengan agama yang boleh menghapuskan keberkatan hidup bernegara,” ujar beliau lagi.

Menurut beliau lagi, mana-mana parti komponen dalam Pakatan Rakyat diperingatkan agar menghormati prinsip asas rakan Pakatan seperti PAS, di samping menghormati hak majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk menentang kemungkaran yang melibatkan umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.