Yayasan Taqwa amat berharap agar pihak yang suka membuat tohmahan dan dakwaan yang tidak berasas ini membuat satu kaji selidik yang lebih mendalam.
PETALING JAYA: Pemuda PAS digesa memohon maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Yayasan Taqwa atau berdepan dengan tindakan undang-undang kerana mengeluarkan kenyataan wang zakat digunakan untuk tujuan politik.
Dakwaan tersebut dibuat Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Mohd Nasaie Ismail dan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad dalam dua siri pendedahan kepada media sejak minggu lalu.
Menafikan tohmahan tersebut, Pengurus Besar Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (MAIWP) Ahmad Ayob Ibrahim berkata yayasan tidak terbabit dalam pemberian atau bantuan bumbung, rumah terbuka hari raya, bantuan kepada anak muda, membiayai bantuan mesin rumput dan pam racun kepada penduduk Jerai dengan menggunakan sumber zakat.
“Yayasan Taqwa amat berharap agar pihak yang suka membuat tohmahan dan dakwaan yang tidak berasas ini membuat satu kaji selidik yang lebih mendalam dan mendapatkan sumber-sumber maklumat yang sah sebelum membuat apa-apa kenyataan umum.
“Ini kerana Islam sendiri menuntut supaya seorang itu menyiasat terlebih dahulu setiap perkhabaran yang diterima agar mereka tidak membuat kesilapan dan fitnah yang akan mendatangkan malapetaka kepada ummah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain itu, katanya semua butiran dan jumlah perbelanjaan serta sumbangan yang dipersoalkan PAS sebenarnya adalah dari sumber Laporan Tahunan MAIWP 2010 yang telah diaudit dan disahkan.
“Laporan audit ini telah dibuat mengikut garis panduan, peraturan, dan undang-undang negara sedia ada. Yayasan Taqwa telah diaudit oleh
juruaudit luar, juruaudit MAIWP dan Jabatan Audit Negara serta mendapat pengiktirafan audit bersih sejak tahun 2007 hingga kini,” katanya.
Mengenai isu RM2 juta sebagai perbelanjaan pentadbiran yang berlebihan yang dibangkitkan, Ahmad Ayob berkata jumlah itu meliputi semua perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan program serta aktiviti Yayasan Taqwa bagi tempoh setahun meliputi seramai 24 orang pegawai, kakitangan pejabat, utiliti, serta lain-lain hal dan bukan sekadar belanja pentadbiran seperti yang didakwa.
“Semua perbelanjaan terperinci tersebut telah diperakui dan disahkan mengikut skim, peraturan, lunas undang-undang, yayasan, MAIWP dan negara serta diperakui berbelanja secara berhemah oleh semakan audit,” tegasnya.
Tiada ketirisan
Sementara itu, katanya tiada istilah ketirisan dalam hal pengurusan wang zakat kerana isu RM800,000 yang didakwa tidak dinyatakan dalam Laporan Tahunan 2010 oleh PAS itu sebenarnya dibawa ke tahun berikutnya (2011) dan butir perinciannya seperti dalam akaun penutup Yayasan Taqwa 2010 dan 2011.
“Sepanjang menjalankan tanggungjawab, selain dalam negara, Yayasan Taqwa juga terlibat dalam membantu masyarakat Islam secara ‘outreach’ yang memerlukan termasuk di Kemboja, Vietnam, Selatan Thai, Indonesia, Mesir, Palestin, Pakistan, Lebanon, dan sebagainya.
“Ini juga mengambil kira dan selaras dengan pandangan As-Sheikh Dr Yusuf al-Qardawi dalam hal pemberian sumbangan zakat seperti ini.
Program dan aktiviti Yayasan Taqwa meliputi aspek pendidikan, dakwah dan kebajikan termasuk kecemasan dan sebagai sebuah yayasan yang mana fungsinya hampir sama dengan pertubuhan NGO yang lain.
“Sejak penubuhannya lagi yayasan senantiasa memainkan peranannya dalam membantu masyarakat secara menyeluruh dan mengagihkan sumber-sumbernya secara berhemah.
Oleh yang demikian, tiada isu yang timbul mengenai wang zakat dari Wilayah Persekutuan tidak boleh diagihkan di luar Wilayah Persekutuan,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.