Oleh Magendran Rajagopal
PUTRAJAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak pernah mengesahkan atau memberi perakuan kepada sebarang jenis alat penjimat tenaga elektrik (ESD) yang dijual secara berleluasa dalam pasaran sekarang.Pengurus Besar (Jabatan Pemasaran dan Perkhidmatan Pelanggan) TNB, Nirinder Singh Johl, berkata terpulang kepada pengguna untuk menggunakan ESD tetapi ia perlu mendapat pengesahan Suruhanjaya Tenaga atau Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
“Pengguna boleh menggunakan ESD ini tetapi mereka harus pastikan tidak menjejaskan atau mengganggu bacaan meter elektrik milik TNB atau mengubah bacaan sebenar penggunaan bekalan elektrik.
“Sebaliknya, pengguna yang mahu menjimatkan elektrik dinasihatkan lebih berhemah apabila menggunakan peralatan elektrik dan melakukan penyenggaraan berkala terhadap perkakasan elektrik bagi memastikan kecekapan guna tenaga,” katanya.
Ada banyak kaedah menjimatkan penggunaan elektrik tetapi TNB tidak ada masalah jika pengguna mahu menggunakan ESD atau peralatan elektrik canggih yang mendakwa dapat menjimatkan penggunaan bekalan elektrik.
Semalam, Berita Harian melaporkan kenyataan Suruhanjaya Tenaga bahawa ESD yang dijual secara berleluasa di pasaran serta internet antara RM300 hingga RM1,000 seunit, mengikut kadar dan pola penggunaan di premis, sebenarnya tidak boleh menjimatkan bil elektrik.
Pengarah Bahagian Keselamatan suruhanjaya itu, Abdul Rahim Ibrahim, berkata tidak timbul soal pihaknya membenarkan penjualan ESD kerana alat yang dinamakan ESD itu tidak ada dalam senarai perkakasan elektrik yang diperakui agensi terbabit.
Bagaimanapun, tinjauan rambang dalam internet mendapati ada antara syarikat yang mengiklankan ESD itu mendakwa mendapat pengiktirafan keselamatan SIRIM.
Namun, semakan terhadap senarai perkakasan elektrik yang dibenarkan dan diiktiraf keselamatannya, baik dalam laman web SIRIM atau Suruhanjaya Tenaga, tidak menyenaraikan ESD atau sebarang alat seumpamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.