KUALA LUMPUR — Hasan Ali melihat tindakan Azmin Ali mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan kredibilitinya sebagai bekas exco kerajaan negeri Selangor ketika sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Jumaat lalu secara langsung mempertikaikan kredibiliti PR.
Menurut Adun Gombak Setia ini lagi, kenyataan Timbalan Presiden PKR itu juga dilihat menjurus kepada timbulnya keraguan terhadap kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam menerajui pentadbiran Selangor.
Malah, Hasan turut membuat perumpamaan kenyataan Azmin itu umpama “menepuk dulang air terpercik ke muka sendiri”.
“Tindakan Ahli Parlimen Bukit Antarabangsa mempertikaikan kredibiliti saya di Dewan Negeri tempoh hari secara langsung turut mempertikaikan kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat, dan mungkin beliau sendiri meragui kepimpinan Menteri Besar Selangor,” kata Hasan kepada pemberita ketika sidang media di kediamannya di sini.
Menurut Hasan, kenyataan Azmin itu dibuat berkemungkinan atas sebab melihat dirinya menjadi ancaman kepada PR memandangkan setiap siri jelajahnya ke pelusuk negara mendapat sokongan dan perhatian masyarakat berbanding program-program anjuran kerajaan PR sendiri.
Menurut Hasan, perkara yang dibangkitkan Azmin adalah perkara lama, membabitkan pengubahsuaian pejabat beliau, pemberian kontrak membina jalan, dan juga kos yang tinggi program Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) yang mana telah dibincangkan di sidang Dun pada 2010.
“Perkara itu telah saya jawab pada Sidang Dewan lepas, saya memafkan kealpaan Azmin, tetapi sukar bagi saya untuk memaafkan niat buruk beliau yang tersembunyi dengan menimbulkan semula perkara itu.
Menurut Hasan yang telah dipecat keanggotaan sebagai ahli PAS, beliau turut menegaskan kos pengubahsuaian pejabatnya adalah untuk 19 kakitangan pejabat tersebut dan bukannya untuk pejabat peribadi beliau.
“Kos ubahsuai itu adalah lebih rendah daripada pengubahsuaian exco lain. Kos itu adalah untuk pejabat yang menempat 19 kakitangan saya, bukannya saya sendiri, jumlah RM300,000 itu untuk 19 orang adalah terlalu kecil,” tegasnya, malah berkata kualiti bahan binaan yang digunakan untuk pengubahsuaian pejabatnya juga berkualiti sederhana.
Sehubungan itu, Hasan mencabar Azmin supaya tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan beliau itu, malah beliau turut menuntut Menteri Besar mengarahkan siasatan menyeluruh dan mengemukakan kesemua kos pengubahsuaian untuk pejabat exco sejak PR mengambil alih negeri.
“Saya menuntut Azmin kemuka bukti, dan Menteri Besar boleh jalankan siasatan menyeluruh untuk buktikan kos pengubahsuaian saya itu paling rendah berbanding exco lain sejak kerajaan PR menguasai Selangor,” tegasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan