Halaman

Rabu, 4 April 2012

Isu murtad: MB pertikai kemampuan JAIS, tubuh Jawatankuasa khas

Post Pic



SHAH ALAM: Satu jawatankuasa khas hari ini ditubuhkan oleh kerajaan negeri Selangor bagi mengkaji kekuatan dan kemampuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam menyelesaikan konflik dan masalah yang dihadapi umat Islam khususnya isu murtad.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) Datuk Mohamad Khusrin Munawi, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Husin, Pengarah Penguatkuasa JAIS, Mohamad Rais Rashid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Rani Osman serta dibantu oleh dua pegawai dari Pejabat Penasihat Undang-Undang JAIS.

Menurutnya, mereka bukan sahaja akan menilai kemampuan JAIS tetapi juga akan merangka mekanisma dan kaedah bagi memantapkan lagi peranan jabatan dalam mencari jalan penyelesaian secara berkesan dan holistik.

"Mekanisma ini akan dibentangkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan seterusnya dibawa kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Negeri Selangor," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di bangunan SUK, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan bahawa kerajaan negeri berpendapat jawatankuasa ini akan memberi penambahbaikan kepada JAIS dalam peranannya untuk mengangkat martabat agama Islam.

Tambahnya, ia berikutan wujudnya "cakap-cakap" cubaaan memurtadkan umat Islam menerusi pendedahan video oleh Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali baru-baru ini.

"Dakwaan ini telah dibuat dengan cara yang memberi gambaran seolah-olah boleh berlaku satu kegemparan jika tidak ditangani secara bijak oleh pihak berwajib.

"Namun hakikatnya bukti yang ada sangat lemah dan tidak menyokong dakwaan yang dibuat di mana kerajaan negeri telah mendapatkan pandangan peguam syarie mengenai isu ini dan ternyata perbuatan dikatakan sebagai "pendedahan" itu tidak cukup sebagai bukti untuk pendakwaan," ujarnya.

Ditanya penubuhan jawatankuasa tersebut membuktikan JAIS gagal menangani masalah isu murtad, Khalid menafikannya dan memberitahu sebagai satu penambahbaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.